Selasa, 5 Julai 2022 | 8:41am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

100,000 orang dihalang masuk ke Makkah

MAKKAH: Pihak berkuasa Arab Saudi menahan dan mendenda hampir 300 individu yang dikesan cuba menunaikan haji tanpa permit, kata seorang pegawai semalam, ketika kerajaan negara itu sedang bersiap sedia untuk menerima sejuta jemaah untuk menunaikan haji.

Pada satu sidang akhbar yang disiarkan media kerajaan, ketua keselamatan haji, Leftenan Jeneral Mohammed al-Basami, berkata kira-kira 288 'rakyat dan penduduk ditangkap kerana melanggar peraturan haji' dan mereka masing-masing didenda 10,000 riyal (RM11,759).

Mohammed berkata, pegawai turut melaksanakan kawalan keselamatan di sekitar Makkah, bandar paling suci umat Islam dan menghalang hampir 100,000 orang yang menaiki lebih 69,000 kenderaan daripada masuk.

Seramai sejuta jemaah, termasuk 850,000 jemaah dari luar negara, dibenarkan menunaikan haji pada tahun ini, selepas jumlah jemaah dihadkan secara drastik selama dua tahun akibat pandemik COVID-19.

Jumlah itu kurang, berbanding 2.5 juta orang yang menunaikan haji pada 2019, sebelum wabak itu melanda, namun jauh lebih tinggi berbanding 60,000 orang, semuanya warga Arab Saudi yang divaksin sepenuhnya, yang dibenarkan menunaikan ibadah itu tahun lalu.

Pihak berkuasa memaklumkan, sekurang-kurangnya 650,000 jemaah sudah tiba dari luar negara untuk menunaikan haji sehingga Ahad lalu.

Ibadah haji secara rasmi bermula pada Rabu, namun pada Isnin, jemaah sudah pun mula melakukan ibadah termasuk tawaf mengelilingi Kaabah.

Pelaksanaan haji, sebelum ini pernah menimbulkan cabaran keselamatan yang besar dan menyaksikan pelbagai indisen, termasuk rempuhan pada 2015 yang mengorbankan sehingga 2,300 orang dan serangan pada 1979 oleh ratusan lelaki bersenjata, yang menurut angka rasmi menyebabkan 153 orang maut. - AFP

Berita Harian X