Selasa, 21 Jun 2022 | 1:32pm
Orang ramai beratus bagi menjalani ujian COVID-19 di Macau. - Foto REUTERS
Orang ramai beratus bagi menjalani ujian COVID-19 di Macau. - Foto REUTERS

COVID-19 China beralih ke selatan

SHANGHAI: Wabak COVID-19 di China sedang beralih ke selatan, dengan peningkatan kes di hab teknologi Shenzhen, membawa kepada pelaksanaan saringan besar-besaran dan penutupan beberapa kawasan kejiranan.

Kes baharu itu muncul ketika dua bandar terpenting di China, Beijing dan Shanghai, dilihat dapat mengawal penularan virus itu selepas sekatan yang ketat dan ujian berulang dilaksanakan dalam tempoh beberapa bulan.

Shanghai melaporkan sembilan kes tempatan hari ini, manakala Beijing, lima kes manakala di seluruh negara, China mencatatkan 34 jangkitan baharu.

Bagaimanapun, kluster baharu yang terus muncul mendorong langkah ketat oleh pegawai tempatan yang bimbang dengan peningkatan wabak.

Sempadan negara berada dalam tekanan yang meningkat, dengan Dandong, yang hanya berada di seberang sungai dari Korea Utara, melaporkan enam kes tempatan.

Di bandar Jilin di timur laut, terdapat 10 jangkitan baharu dalam kalangan pekerja rantaian bekalan makanan sejuk.

Di Shenzhen, lokasi bagi syarikat seperti pembuat iPhone, Hon Hai Precision Industry Co, perintah pengasingan dikenakan di beberapa kawasan kediaman daerah Futian dan Luohu yang bersempadan dengan Hong Kong, selepas masing-masing melaporkan jangkitan tanpa gejala.

Sementara itu, wabak di Hong Kong terus menular, mencatatkan 1,186 jangkitan tempatan baharu semalam.

Hab perjudian Macau menutup sekolah dan perniagaan yang tidak penting selepas kerajaan mengesan 36 jangkitan setakat petang semalam, namun kasino masih dibuka.

Zhuhai, yang berjiran di tanah besar, menutup kawasan lintasan sempadan kerana bimbang dengan penularan wabak itu.

Peralihan tumpuan kebimbangan COVID China menggariskan tugas besar untuk menghapuskan patogen yang sangat menular itu, apabila seluruh dunia sudah menyesuaikan diri untuk hidup dengan virus itu.

Selepas wabak itu menjejaskan musim bunga, terutama di Shanghai, China berdepan tekanan untuk meningkatkan aktiviti ekonomi menjelang kongres parti pada akhir tahun ini, yang mana Presiden Xi Jinping dijangka meraih kejayaan bagi penggal ketiga sebagai pemimpin, sesuatu yang belum pernah berlaku sebelum ini. - AGENSI

Berita Harian X