Sabtu, 4 Jun 2022 | 7:07pm
Arab Saudi membenarkan sejuta umat Islam dari dalam dan luar negara melakukan ibadah haji tahun ini. - Foto AGENSI
Arab Saudi membenarkan sejuta umat Islam dari dalam dan luar negara melakukan ibadah haji tahun ini. - Foto AGENSI

Arab Saudi sambut ketibaan kumpulan pertama jemaah haji

RIYADH: Arab Saudi hari ini menyambut ketibaan kumpulan pertama jemaah haji dari luar sejak pandemik COVID-19 melanda.

Kumpulan jemaah haji dari Indonesia tiba di Madinah dan dijadualkan bertolak ke tanah suci Makkah dalam tempoh beberapa minggu akan datang bagi menunaikan ibadah haji.

"Hari ini, kami menerima kumpulan jemaah haji pertama sejak pandemik COVID-19 iaitu dari Indonesia, seterusnya dari Malaysia dan India.

"Kami berasa amat gembira menerima kedatangan jemaah semua. Diharapkan kali ini ibadah haji dapat berjalan dengan lancar," kata Menteri Haji Arab Saudi, Mohammed al-Bijawi.

Sebelum pandemik COVID-19 melanda, seramai 2.5 juta umat Islam menunaikan ibadah haji pada 2019.

Namun, hanya 1,000 jemaah haji tempatan yang dibenarkan menunaikan ibadah terbabit sebelum ditingkatkan kepada 60,000 jemaah pada tahun berikutnya.

Namun, April lalu, kerajaan mengumumkan akan membenarkan sejuta umat Islam dari dalam dan luar negara melakukan ibadah haji Julai ini.

Sebelum wabak berlaku, ziarah umat Islam adalah penyumbang pendapatan utama bagi kerajaan, membawa kira-kira AS$12 bilion (RM52 bilion) setiap tahun.

Bagaimanapun jemaah haji tahun ini dihadkan kepada yang lengkap vaksin dan di bawah usia 65 tahun.

Jemaah dari luar Arab Saudi dikehendaki mengemukakan keputusan PCR COVID-19 negatif daripada ujian yang diambil dalam tempoh 72 jam perjalanan. - AFP

Berita Harian X