Jumaat, 3 Jun 2022 | 5:27pm
Seorang wanita warga emas membeli-belah di sebuah pasar raya di Beijing. - Foto AFP
Seorang wanita warga emas membeli-belah di sebuah pasar raya di Beijing. - Foto AFP

Harga makanan global jatuh semula, gandum melonjak

PARIS: Harga makanan dunia turun sedikit untuk bulan kedua berturut-turut pada bulan Mei tetapi harga gandum meningkat semula apabila perang Russia di Ukraine berlanjutan dan India mengharamkan eksport komoditi itu, kata agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini.

Pencerobohan Russia ke atas Ukraine menyebabkan harga makanan ke paras tertinggi pada Mac kerana kedua-dua negara adalah pengeksport utama barangan pertanian, mencetuskan kebimbangan krisis kelaparan global.

Indeks harga makanan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) PBB turun 0.6 peratus pada Mei dari April apabila harga produk tenusu dan minyak sayuran turun.

Harga, bagaimanapun, masih 56.2 peratus lebih tinggi berbanding setahun lalu.

Harga gandum pula meningkat sebanyak 5.6 peratus pada Mei berbanding bulan sebelumnya.

"Ia meningkat sebagai tindak balas kepada larangan eksport yang diumumkan oleh India dan kebimbangan mengenai keadaan tanaman di beberapa negara pengeksport terkemuka serta mengurangkan prospek pengeluaran di Ukraine akibat perang," kata FAO.

Memetik inflasi dan keperluan keselamatan makanannya sendiri, India bulan lalu mengharamkan sebarang eksport gandum baharu tanpa kelulusan kerajaan selepas bulan Mac mencatat rekod suhu paling panas - berpunca daripada perubahan iklim - menjejaskan hasil tuaian.

Harga minyak sayuran turun 3.5 peratus sebahagiannya disebabkan Indonesia menarik balik larangan eksport minyak sawit, kata FAO. - AFP

Berita Harian X