Rabu, 1 Jun 2022 | 10:07pm
Gambar hiasan. - Foto AGENSI
Gambar hiasan. - Foto AGENSI

Kyrgyzstan ikut jejak Kazakhstan larang eksport gula selama 6 bulan

BISHKEK: Kyrgyzstan mengikut jejak langkah negara jirannya, Kazakhstan, dengan melarang eksport gula selama enam bulan.

Perkara itu dimaklumkan kerajaannya hari ini, dengan alasan didorong oleh kebimbangan kenaikan harga komoditi itu dan keselamatan makanan.

Kedua-dua bekas negara Soviet itu menyaksikan lonjakan mendadak kos gula dalam tempoh beberapa minggu pada awal kempen ketenteraan Russia di Ukraine, selepas Moscow mengharamkan eksport berikutan pembelian panik dalam negara.

Harga di pasaran Asia Tengah kemudian kembali stabil, bagaimanapun bulan lalu, Kazakhstan mengenakan larangan eksport gula selama enam bulan, ketika kekurangan di pasaran tempatan dilaporkan, terutamanya di daerah utara bersempadan Russia.

Kyrgyzstan mengenakan larangan sama bertujuan untuk mengetepikan kemungkinan eksport besar-besaran gula dari Republik Kyrgyz dan memastikan keselamatan makanan negara serta membendung kenaikan harga pasaran gula.

Laporan media Kyrgyz berkata gula dieksport dari Kyrgyzstan ke Kazakhstan dalam jumlah besar selepas larangan Kazakhstan berkuat kuasa pada Mei lalu.

Kedua-dua negara adalah pengimport gula yang secara tradisinya mencari Russia dan negara lain untuk memenuhi permintaan.

Keputusan Presiden Russia, Vladimir Putin, menghantar tentera ke Ukraine menjejaskan pasaran makanan dan menyebabkan beberapa negara mengenakan had atau larangan langsung ke atas eksport makanan untuk menambat inflasi.

India, pengeksport gula kedua terbesar di dunia, mengenakan had ke atas penjualan gula ke luar negara bulan lalu. - AFP

Berita Harian X