X
Khamis, 26 Mei 2022 | 4:25pm
Pasukan keselamatan Israel meronda kawasan perkarangan Masjid Al-Aqsa, yang dikenali dengan nama Temple Mount oleh penganut Yahudi. - Foto REUTERS
Pasukan keselamatan Israel meronda kawasan perkarangan Masjid Al-Aqsa, yang dikenali dengan nama Temple Mount oleh penganut Yahudi. - Foto REUTERS

Mahkamah Israel kekalkan larangan Yahudi solat di perkarangan Al-Aqsa

BAITULMAQDIS: Mahkamah Rayuan Israel semalam mengenepikan keputusan majistret yang membangkitkan kemarahan Palestin kerana mempersoalkan kesahihan menghalang Yahudi solat di tempat suci Baitulmaqdis.

Keputusan itu dibuat ketika Amerika Syarikat (AS) memberi amaran kepada rakyatnya supaya mengelak mengunjungi sekitar kawasan itu.

Perkarangan Masjid Al-Aqsa, yang turut dianggap suci oleh penganut Yahudi sebagai tempat peninggalan dua kuil purba mereka, terletak di kota lama Baitulmaqdis di tengah-tengah konflik Israel-Palestin.

Di bawah peraturan 'status quo' sejak beberapa dekad dengan pihak berkuasa Islam, Israel membenarkan orang Yahudi melawat tetapi menetapkan syarat mereka tidak melakukan upacara keagamaan di sana.

Tiga pemuda Yahudi yang menerima perintah sekatan selepas bersembahyang di tapak itu berjaya mencabar keputusan polis di Mahkamah Majistret Baitulmaqdis, yang memutuskan pada Ahad lalu bahawa tindakan mereka tidak melanggar keamanan.

Ia secara langsung mendorong bantahan dan ancaman rakyat Palestin selain komitmen daripada Israel bahawa 'status quo' sejak berdekad lamanya akan terus dipelihara.

Bagaimanapun, perarakan bendera yang dirancang oleh nasionalis Israel di kota berkenaan pada Ahad ini dikhuatiri meningkatkan lagi ketegangan.

Wilayah itu memfailkan rayuan balas semalam dengan Mahkamah Daerah Baitulmaqdis.

Hakim, Einat Avman-Moller, dalam keputusannya, berkata sensitiviti keistimewaan Temple Mount tidak boleh dipandang remeh.

"Hak untuk kebebasan Yahudi beribadat di sana tidak mutlak dan harus mengutamakan kepentingan lain, antaranya menjaga ketenteraman awam," katanya menggunakan nama Ibrani untuk tapak di perkarangan Masjid Al-Aqsa, yang juga tempat suci bagi umat Islam.

Dalam satu kenyataan, seorang peguam mewakili pihak defendan, Nati Rom, berkata adalah pelik dan dikesali pada abad ke-21 kerana di negara Israel yang demokrasi, hak asasi penduduk Yahudi diketepikan.

Peningkatan ketara jumlah kunjungan Yahudi, termasuk pada bulan Ramadan yang pada tahun ini kebetulan tiba bersamaan dengan perayaan Paskah Yahudi, dilihat menggugat hak rakyat Palestin.

Jordan, rakan kongsi keselamatan Israel yang disokong AS serta penjaga Masjid Al-Aqsa, turut menyuarakan kebimbangannya.

Perarakan bendera, yang dijadualkan pada Ahad ini bagi menandakan kota lama itu ditawan Israel dalam perang 1967, adalah acara tahunan dibenci rakyat Palestin yang mahukan Baitulmaqdis menjadi sebuah negara berdaulat.

Kedutaan AS di Baitulmaqdis semalam menyuarakan keperluan berwaspada , sambil menasihatkan kakitangan kerajaan AS dan keluarga mereka mengelak mengunjungi kota lama itu pada Ahad ini. - REUTERS

Berita Harian X