Rabu, 25 Mei 2022 | 6:13pm
Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa (kanan) menerima surat angkat sumpah Perdana Menteri, Ranil Wickremesinghe (kiri) sebagai Menteri Kewangan baharu, di Colombo. - Foto AFP
Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa (kanan) menerima surat angkat sumpah Perdana Menteri, Ranil Wickremesinghe (kiri) sebagai Menteri Kewangan baharu, di Colombo. - Foto AFP

PM Sri Lanka dilantik terajui Kementerian Kewangan

COLOMBO: Perdana Menteri Sri Lanka, Ranil Wickremesinghe hari ini diberi tanggungjawab tambahan di Kementerian Kewangan ketika negara kepulauan itu terus bergelut dengan krisis ekonomi paling teruk pernah berlaku.

Pejabat Presiden Gotabaya Rajapaksa mengumumkan Wickremesinghe sudah mengangkat sumpah, dua minggu selepas beliau diundang untuk membentuk kerajaan perpaduan berikutan peletakan jawatan pendahulunya.

Pelantikannya hari ini menamatkan dua minggu perbalahan antara rakan gabungan itu, menjelang rundingan penyelamat negara Asia selatan yang diisytihar bankrap itu dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

"Parti presiden mahukan portfolio kewangan, namun Perdana Menteri menegaskan beliau mahukannya jika mahu beliau memimpin negara keluar daripada kekacauan ekonomi," kata seorang ahli politik terkemuka yang terbabit dalam rundingan itu.

Sri Lanka bergelut dengan kekurangan pertukaran asing sehingga menyebabkan ekonominya yang bergantung kepada import tidak dapat memperoleh bekalan penting seperti makanan, bahan api dan ubat-ubatan.

Negara yang mempunyai 22 juta penduduk itu mengalami kesusahan ekonomi yang teruk selama berbulan-bulan, dengan rekod inflasi dan masalah bekalan elektrik harian yang berpanjangan.

Kerajaannya juga gagal membayar hutang asingnya berjumlah AS$51 bilion (RM224 bilion). - AFP

Berita Harian X