Jumaat, 20 Mei 2022 | 8:51pm
Pelajar universiti dan polis bertempur ketika tunjuk perasaan menuntut peletakan jawatan Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa, ketika sembilan menteri baharu mengangkat sumpah. - Foto AFP
Pelajar universiti dan polis bertempur ketika tunjuk perasaan menuntut peletakan jawatan Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa, ketika sembilan menteri baharu mengangkat sumpah. - Foto AFP

9 menteri baharu angkat sumpah di Sri Lanka

NEW DELHI: Sembilan menteri baharu mengangkat sumpah hari ini di Sri Lanka ketika kerajaan gabungan semua parti cuba memulihkan ketenteraman negara yang dilanda krisis kewangan.

Bagi portfolio utama, Menteri Pelabuhan dan Penerbangan, digalas Nimal Siripala De Silva, Susil Premajayantha akan mengetuai Kementerian Pendidikan dan Keheliya Rambukwella akan berkhidmat sebagai Menteri Kesihatan.

Nalin Fernando dilantik sebagai Menteri Perdagangan, Tiran Alles sebagai Menteri Keselamatan Awam dan Harin Fernando diberikan portfolio Kementerian Pelancongan.

Presiden Sri Lanka Gotabaya Rajapaksa, awal bulan ini melantik ahli politik veteran, Ranil Wickremesinghe, sebagai Perdana Menteri untuk mengemudi Sri Lanka keluar daripada kegawatan ekonomi yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Wickremesinghe menggantikan abang Gotabaya, Mahinda Rajapaksa, yang meletak jawatan di tengah-tengah kemarahan orang ramai yang memuncak terhadap kegagalan kerajaan menangani inflasi yang tinggi, gangguan bekalan elektrik dan kekurangan barangan keperluan.

Sementara itu, Wickremesinghe mengalu-alukan pengumuman oleh negara terkaya Kumpulan Tujuh (G7) yang akan membantu Sri Lanka dalam mendapatkan pelepasan hutang.

"Pembabitan berterusan masyarakat antarabangsa dengan Sri Lanka adalah kunci untuk mengatasi krisis ekonomi," ciap Perdana Menteri Sri Lanka itu di Tweeter.

Bank Pusat Sri Lanka, semalam berkata aktiviti ekonomi akan terjejas tahun ini disebabkan kekurangan bekalan, kekurangan tenaga dan ketegangan sosial.

Ia berkata 'langkah segera diperlukan untuk memulihkan kestabilan politik yang lebih besar melalui tadbir urus konsensus dan keharmonian sosial'. - BERNAMA

Berita Harian X