Khamis, 19 Mei 2022 | 2:23pm
Persediaan kakitangan perubatan memakai pakaian perlindungan diri (PPE) setiap pagi sudah menjadi pemandangan biasa di Beijing dan Shanghai di China, yang masih berada di bawah perintah berkurung akibat COVID-19. - Foto AFP
Persediaan kakitangan perubatan memakai pakaian perlindungan diri (PPE) setiap pagi sudah menjadi pemandangan biasa di Beijing dan Shanghai di China, yang masih berada di bawah perintah berkurung akibat COVID-19. - Foto AFP

Dasar sifar COVID-19 China jejas pemulihan ekonomi global

BEIJING: Kelembapan mendadak ekonomi China akibat peraturan ketat sifar COVID-19 menimbulkan keraguan berhubung sumbangan negara itu kepada pelaburan dan perdagangan global masa hadapan.

Pengiraan berdasarkan unjuran Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menunjukkan jangkaan purata sumbangan tahunan China kepada pertumbuhan ekonomi global sehingga 2027 adalah kira-kira 29 peratus.

Walaupun itu adalah tambahan yang besar, ia berbeza dengan tahun-tahun selepas krisis kewangan global 2008, apabila purata itu menghampiri 40 peratus.

Pertumbuhan eksport China turun perlahan kepada satu angka pada April lalu, antara yang paling lemah sejak bermulanya wabak itu, manakala import hampir tidak berubah apabila sekatan COVID-19 menghentikan pengeluaran kilang dan mengurangkan permintaan.

Pihak berkuasa dijangka akan amat teliti dalam menggubal dasar berhubung COVID-19 menjelang mesyuarat utama Parti Komunis menjelang akhir tahun ini.

Sebagai tanda berhati-hati, China minggu lalu melepaskan hak untuk menjadi tuan rumah perlawanan akhir bola sepak piala Asia tahun depan kerana kebimbangan COVID-19.

Beijing mempertahankan dasarnya dan tidak membesar-besarkan kesan gelombang global serta tidak pedulikan pandangan negara lain berhubung kawalan coronavirus.

Di bawah dasar sifar-COVID-19, warga China hanya menikmati tempoh keterbukaan dan kebebasan relatif yang panjang dalam lingkungan ekonomi domestik, tetapi kekal tertutup dari seluruh dunia.

Bagaimanapun, penularan coronavirus tempatan baru-baru ini menyebabkan kerajaan bukan saja menutup sebahagian besar sektor pembuatan, sekali gus menambah kejutan terhadap bekalan global.

Pada masa sama, China turut menggandakan sekatan yang mengehadkan pergerakan orang keluar masuk ke negara itu, walaupun kebanyakan negara sudah memulakan fasa 'hidup bersama COVID-19'. - REUTERS

Berita Harian X