Selasa, 17 Mei 2022 | 6:29pm
India minggu lalu mengarahkan peniaga tidak boleh membuat perjanjian eksport baharu gandum tanpa kelulusan kerajaan. - Foto AFP
India minggu lalu mengarahkan peniaga tidak boleh membuat perjanjian eksport baharu gandum tanpa kelulusan kerajaan. - Foto AFP

India benarkan penghantaran gandum ke luar negara

NEW DELHI: India akan membenarkan penghantaran gandum ke luar negara yang ketika ini menanti pelepasan kastam, kata kerajaan hari ini.

India memperkenalkan beberapa kelonggaran dalam eksport selepas ia mengharamkan penjualan luar negara komoditi berkenaan Sabtu lalu.

India juga akan membenarkan eksport gandum ke Mesir, kata kerajaan dalam satu kenyataan.

"Kerajaan membuat keputusan bahawa di mana saja penghantaran diserahkan kepada kastam untuk pemeriksaan dan telah didaftarkan ke dalam sistem, sama ada pada 13 Mei 2022, atau lebih awal, akan dibenarkan untuk dihantar keluar," kata kerajaan.

India mengharamkan eksport gandum Sabtu lalu, hanya beberapa hari selepas mengatakan ia menyasarkan penghantaran rekod sebanyak 10 juta tan tahun ini, kerana gelombang haba menyekat pengeluaran dan harga domestik mencecah rekod tertinggi.

Kerajaan berkata, ia hanya akan membenarkan eksport yang disokong oleh surat kredit (LC), atau jaminan pembayaran, yang dikeluarkan sebelum 13 Mei.

Peruntukan itu telah menimbulkan ketidakpastian.

Daripada kira-kira 2.2 juta tan gandum di pelabuhan atau dalam transit, peniaga berkata mereka mempunyai LC untuk hanya 400,000 tan.

Keputusan untuk mengharamkan eksport gandum juga menyebabkan kira-kira 1.8 juta tan bijirin tersekat di pelabuhan, menyebabkan peniaga menghadapi kerugian besar daripada prospek menjual ke pasaran domestik yang lebih lemah. - REUTERS

Berita Harian X