Sabtu, 14 Mei 2022 | 4:23pm
Pihak berkuasa membersihkan kenderaan yang musnah ketika pertembungan penunjuk perasaan dengan pihak berkuasa baru-baru ini di Colombo, Sri Lanka. - Foto EPA
Pihak berkuasa membersihkan kenderaan yang musnah ketika pertembungan penunjuk perasaan dengan pihak berkuasa baru-baru ini di Colombo, Sri Lanka. - Foto EPA

PM baharu Sri Lanka gagal raih sokongan bentuk kerajaan baharu

COLOMBO: Perdana Menteri baharu Sri Lanka, Ranil Wickremesinghe, berdepan kesukaran membentuk kerajaan perpaduan susulan tiada sokongan daripada ahli Parlimen lain.

Malah, beberapa pemimpin kanan parti pembangkang yang ditawarkan jawatan Menteri Kabinet sudah menolak dan sebaliknya menggesa Parlimen dibubarkan bagi pembentukan kerajaan baharu.

Ahli Parlimen kanan pembangkang, Harsha de Silva secara terbuka menolak tugas menguruskan sistem kewangan negara ini, malah beliau mahu mendesak peletakan kerajaan.

"Rakyat tidak minta terlibat dalam permainan politik dan apa-apa perjanjian, sebaliknya mereka mahukan sistem baharu yang menjamin kesejahteraan mereka pada masa akan datang," katanya dalam dalam kenyataan.

Perikatan Nasional Tamil pula menyifatkan pentadbiran Rajapaksa sudah tidak sah apabila melantik Wickremesinghe, yang langsung tiada sokongan di Parlimen.

Parti berhaluan kiri, Barisan Pembebasan Rakyat (JVP) pula menegaskan, pilihan raya adalah satu-satunya jalan keluar daripada kemelut itu.

Ternyata pelantikan Wickremesinghe gagal meredakan kemarahan penduduk Sri Lanka yang berdepan krisis ekonomi terburu sejak negara itu merdeka pada 1948.

Pada masa sama, majoriti masih menuntut penyingkiran Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa, sekali gus melenyapkan cengkaman keluarga Rajapaksa, bagi membuka laluan untuk penubuhan kerajaan baharu.

Wickremesinghe adalah satu-satunya ahli Parlimen daripada Parti Nasional Bersatu (UNP) yang diterajuinya dan perlu bergantung pada parti lain untuk membentuk kerajaan.

Gabungan diketuai keluarga Rajapaksa menguasai 100 daripada 225 kerusi Parlimen, manakala pembangkang memiliki 58 kerusi dan bakinya adalah kerusi wakil rakyat bebas.

Penunjuk perasaan menyifatkan pelantikan Wickremesinghe tidak akan mengubah kemarahan rakyat terhadap Presiden Sri Lanka, yang didakwa bertanggungjawab sepenuhnya terhadap krisis ekonomi terburuk negara itu.

Beberapa siri tunjuk perasaan ganas sejak beberapa minggu lalu yang meragut sembilan nyawa dan menyebabkan lebih 300 cedera menyaksikan Mahinda Rajapaksa meletak jawatan sebagai perdana menteri lalu menyorok di sebuah pangkalan tentera.

Namun adiknya, Gotabaya, enggan tunduk kepada desakan rakyat supaya berundur dan berikrar akan melakukan sebaik mungkin bagi membantu Sri Lanka.

Dalam pada itu, bank pusat Sri Lanka memberi amaran bahawa ekonomi negara ini hanya menunggu masa untuk 'hancur sepenuhnya' melainkan kerajaan baharu dibentuk segera.

Kebimbangan itu turut disuarakan oleh Wickremesinghe, yang menegaskan keadaan di negara itu boleh menjadi lebih teruk dalam beberapa bulan akan datang jika rakyat tidak bertolak ansur.

Sehubungan itu, beliau meminta bantuan antarabangsa bagi memulihkan Sri Lanka.

"Kami mahu menjadi seperti dulu, rakyat boleh menikmati makan tiga kali sehari tanpa perlu risau tentang bekalan mereka," ujarnya. – AFP

Berita Harian X