Sabtu, 14 Mei 2022 | 2:23pm
Gambar hiasan - FOTO REUTERS
Gambar hiasan - FOTO REUTERS

India larang eksport gandum kuat kuasa serta-merta

MUMBAI: India melarang eksport gandum berkuat kuasa serta-merta, hari ini, ketika gelombang haba akibat cuaca panas terik menjejaskan hasil tanaman dan harga tempatan mencecah rekod paras tertinggi.

Bagaimanapun, Kerajaan India menjelaskan, pihaknya masih membenarkan eksport membabitkan surat kredit sudah dikeluarkan serta atas permintaan negara yang berusaha memenuhi keperluan keselamatan makanan mereka.

Pembeli global mengharapkan negara pengeluar gandum kedua besar di dunia ini untuk bekalan gandum, selepas eksport dari wilayah Laut Hitam merudum susulan krisis pencerobohan Russia terhadap Ukraine.

Sebelum penguatkuasaan larangan itu, India menyasarkan untuk mencatat rekod eksport 10 juta tan gandum, tahun ini.

Larangan eksport oleh India itu boleh mengakibatkan harga global melonjak ke paras baharu, sekali gus menjejaskan pengguna miskin di Asia dan Afrika.

Peningkatan harga makanan dan tenaga mendorong inflasi runcit tahunan India melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh lapan tahun, April lalu, serta mengukuhkan pandangan ahli ekonomi bahawa Bank Pusat perlu menaikkan kadar faedah secara lebih agresif untuk mengekang harga.

Harga gandum di India meningkat kepada rekod tertinggi, dengan beberapa pasaran mencecah 25,000 rupee (RM1,418) per tan, berbanding harga sokongan minimum ditetapkan kerajaan sebanyak 20,150 rupee (RM1,143). - REUTERS

Berita Harian X