Khamis, 5 Mei 2022 | 7:54pm
Polis Israel menghalang pintu masuk ke perkarangan Masjid Al-Aqsa di bandar lama Baitulmaqdis. - Foto EPA
Polis Israel menghalang pintu masuk ke perkarangan Masjid Al-Aqsa di bandar lama Baitulmaqdis. - Foto EPA

Pertempuran baharu di Baitulmaqdis selepas ketenangan 10 hari

BAITULMAQDIS: Pertempuran meletus antara polis Israel dan rakyat Palestin di perkarangan Masjid Al-Aqsa hari ini, selepas tiada ketegangan selama 10 hari di tapak suci itu, kata polis Israel.

Menurut polis Israel, mereka menghalau puluhan perusuh yang dikesan melempar batu dan objek lain ke arah pasukan keselamatan.

Wartawan AFP di lapangan melaporkan kehadiran besar pihak polis di hadapan masjid berkenaan sementara pasukan Palang Merah Palestin belum melaporkan sebarang kematian susulan keganasan yang meletus.

Pertempuran dikatakan berlaku sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan 1948 Israel, yang kebetulan diraikan ketika perayaan Paskah Yahudi dan Paskah Kristian bertindih dengan Ramadan, bulan suci bagi umat Islam berpuasa.

Sejak pertengahan April, pertempuran antara polis Israel dan rakyat Palestin mencederakan hampir 300 orang di perkarangan Masjid Al-Aqsa.

Masjid suci ketiga umat Islam itu turut menjadi tempat suci bagi agama Yahudi yang dikenali sebagai Temple Mount.

Rakyat Palestin marah dengan peningkatan kunjungan jemaah Yahudi ke perkarangan itu, di mana berdasarkan konvensyen lama, warga Yahudi boleh melawat tetapi tidak dibenarkan beribadat.

Menteri Luar Israel, Yair Lapid, berkata negara Yahudi itu tidak akan mengubah status quo berkenaan.

Minggu lalu, pemerintah Islam di Semenanjung Gaza, Hamas, didakwa mengancam Israel dengan serangan roket dan serangan rumah ibadat Yahudi jika tentera Israel melakukan serbuan lanjut di tapak suci berkenaan.

"Anda sepatutnya bersedia untuk pertarungan hebat jika pendudukan (Israel) tidak berhenti menyerang Masjid Al-Aqsa," kata Ketua Hamas, Yahya Sinwar, di kawasan Palestin yang disekat Israel.

Serangan dilakukan polis Israel ke atas perkarangan masjid itu pada bulan lalu mencetuskan kecaman meluas daripada pelbagai pemimpin serantau.

Jordan, yang menguruskan tapak suci di sini, menuduh Israel mengganggu status quo lama yang membenarkan semua pegangan kepercayaan untuk beribadat di tapak suci di bandar itu.

Kebanjiran keganasan sejak 22 Mac lalu membunuh 12 warga Israel termasuk pegawai polis Arab-Israel dan dua warga Ukraine dalam empat serangan berasingan di dalam Israel.

Dua serangan berdarah berlaku di kawasan Tel Aviv, yang didalangi warga Palestin.

Dalam tempoh sama, 26 warga Palestin dan tiga warga Arab- Israel maut, antaranya termasuk penyerang dan mereka yang dibunuh oleh pasukan keselamatan Israel ketika operasi di Tebing Barat. - AFP

Berita Harian X