Sabtu, 30 April 2022 | 8:21pm
Pelajar perubatan mengambil bahagian dalam protes antikerajaan di Colombo. - Foto AFP
Pelajar perubatan mengambil bahagian dalam protes antikerajaan di Colombo. - Foto AFP

Sri Lanka yang dilanda krisis menaikkan harga ubat

COLOMBO: Sri Lanka yang kekurangan wang hari ini mengumumkan kenaikan harga sebanyak 40 peratus untuk berpuluh-puluh ubat yang biasa digunakan ketika negara kepulauan itu mengalami krisis ekonomi terburuk dalam beberapa dekad.

Berbulan-bulan pemadaman elektrik yang berpanjangan dan kekurangan makanan, bahan api dan farmaseutikal yang teruk telah mencetuskan protes meluas yang menggesa kerajaan meletakkan jawatan.

Hospital telah pun membatalkan pembedahan rutin selepas kehabisan ubat bius, dan arahan hari ini terpakai kepada 60 ubat yang kekurangan bekalan.

Antibiotik, ubat penahan sakit tanpa preskripsi dan ubat untuk penyakit jantung dan diabetes semuanya akan tertakluk kepada kenaikan harga, kata menteri kesihatan, Channa Jayasumana.

Ia adalah kali kedua dalam tempoh enam minggu harga farmaseutikal dinaikkan.

Pada pertengahan Mac kenaikan 30 peratus telah dikenakan.

Pegawai industri berkata, kenaikan terbaharu itu perlu untuk mengimbangi kesan harga bahan api, yang meningkat dua kali ganda sejak Disember.

Angka rasmi yang dikeluarkan semalam menunjukkan kadar inflasi Sri Lanka mencecah hampir 30 peratus pada April, rekod tertinggi ketujuh berturut-turut.

Sri Lanka telah kehabisan mata wang asing untuk mengimport barangan keperluan yang amat diperlukan.

Kerajaan bulan ini mengumumkan kemungkiran hutang asingnya yang berjumlah AS$51 bilion (RM222.12 bilion) dan meminta rakyat di luar negara untuk menderma wang untuk membantu pulau itu keluar daripada kesulitan ekonominya.

Sri Lanka telah meminta bantuan penyelamat Tabung Kewangan Antarabangsa, (IMF) yang mungkin mengambil masa sehingga tiga bulan untuk tiba. - AFP

Berita Harian X