Ahad, 24 April 2022 | 11:02am
Polis Israel mengangkat seorang penunjuk perasaan warga Palestin yang cedera di perkarangan Masjidil Aqsa. - AFP
Polis Israel mengangkat seorang penunjuk perasaan warga Palestin yang cedera di perkarangan Masjidil Aqsa. - AFP

PBB bincang ketegangan Baitulmaqdis bersama Israel, Palestin

WASHINGTON: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, membincangkan ketegangan berterusan di sekitar tapak suci Baitulmaqdis dalam panggilan berasingan Sabtu bersama Perdana Menteri Israel dan Presiden Palestin.

Dalam kenyataan dikeluarkan selepas kedua-dua panggilan, PBB berkata, Guterres membincangkan usaha untuk meredakan ketegangan, menamatkan provokasi dan langkah unilateral, serta memulihkan ketenangan.

Lebih 200 orang kebanyakannya rakyat Palestin, cedera sejak seminggu lalu dalam pertempuran di dalam dan sekitar perkarangan Al-Aqsa, tapak suci bagi kedua-dua orang Islam dan Yahudi.

Rakyat Palestin marah dengan penempatan polis Israel secara besar-besaran dan lawatan berulang oleh Yahudi ke tapak suci itu, yang ditadbir melalui perjanjian perkongsian kuasa yang lemah.

Guterres mengulangi bahawa status quo di tapak suci mesti ditegakkan dan dihormati.

Pertempuran di Al-Aqsa berlaku di tengah gelombang keganasan maut, yang mencetuskan kebimbangan konflik lebih meluas.

Pelancaran roket dari Semenanjung Gaza pada Rabu dan Khamis mendorong serangan balas daripada Israel.

Namun selepas serangan serupa dari Gaza pada malam Jumaat dan pagi semalam, Israel memutuskan untuk tidak melancarkan serangan balas, sebaliknya berkata ia akan menutup satu-satunya sempadannya ke daerah yang dikelilingi itu hari ini. - AFP

Berita Harian X