Jumaat, 22 April 2022 | 4:59pm
Warga Palestin bertembung dengan polis Israel di perkarangan Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis. - Foto AFP
Warga Palestin bertembung dengan polis Israel di perkarangan Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis. - Foto AFP

Mangsa kekejaman Israel di al-Aqsa meningkat kepada 57

BAITULMAQDIS: Sekurang-kurangnya 57 warga Palestin cedera setakat ini dalam pertempuran dengan polis Israel di perkarangan Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis sejak selepas solat Jumaat semalam, kata pasukan perubatan Palestin.

Serangan itu adalah yang terbaru ketika ketegangan semakin meruncing antara umat Islam dan pihak berkuasa Yahudi di Tebing Barat.

Menurut Perkhidmatan Ambulans Bulan Sabit Merah Palestin, seramai 14 warga Palestin dibawa ke hospital dengan dua dari mereka mengalami kecederaan serius.

Polis Israel pula berkata, tenteranya campur tangan apabila ratusan orang mula membaling batu dan bunga api serta semakin menghampiri Tembok Barat, tempat sembahyang Yahudi sedang dalam proses pembinaan.

Saksi Reuters berkata polis memasuki perkarangan masjid selepas solat subuh dan melepaskan tembakan peluru getah dan gas pemedih mata ke arah kira-kira 200 penduduk Palestin, yang sebahagian daripada mereka membaling batu.

Kata saksi lagi, polis menembak peluru getah dari jarak dekat ke arah sekumpulan wartawan yang merakam pertempuran itu.

Keganasan di perkarangan masjid itu, yang juga antara tempat paling suci bagi umat Islam, turut dianggap tempat suci oleh penganut Yahudi yang menggelarnya sebagai Temple Mount.

Sejak Mac lalu, tentera Israel membunuh sekurang-kurangnya 29 rakyat Palestin dalam serbuan di Tebing Barat, menurut kementerian kesihatan Palestin.

Polis dan pegawai perubatan Israel pula menyatakan, beberapa siri serangan jalanan Arab itu mengorbankan 14 nyawa daripada pihaknya.

Pada tahun ini, ketegangan meningkat susulan bulan suci Ramadan bertindih dengan perayaan Paskah Yahudi, yang menarik lebih ramai pelawat Palestin dan Israel ke perkarangan masjid itu.

Rakyat Palestin menuduh pihak berkuasa Israel sengaja membiarkan penganut Yahudi melakukan upacara penyembahan yang terlalu lama di tempat ketiga paling suci dalam Islam dan melihat perbuatan sedemikian sebagai provokasi.

Bagaimanapun Israel menolak dakwaan terbabit dan menegaskan, seperti tahun-tahun sebelumnya, Israel menghentikan lawatan Yahudi pada hari-hari terakhir Ramadan, mulai Jumaat, kata seorang pegawai Israel.

Secara tradisinya, kehadiran umat Islam di perkarangan al-Aqsa meningkat pada hari-hari terakhir bulan puasa. - REUTERS

Berita Harian X