Jumaat, 22 April 2022 | 3:37pm
Pemimpin Palestin, Mahmoud Abbas. - Foto AFP
Pemimpin Palestin, Mahmoud Abbas. - Foto AFP

Presiden Palestin gesa campur tangan AS henti keganasan Israel

RAMALLAH: Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, menggesa Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden, dan pentadbirannya campur tangan bagi menghentikan keganasan Israel di wilayah Palestin, terutama di Baitulmaqdis Timur.

Mahmoud membuat permintaan itu semalam dalam pertemuan dengan Pemangku Penolong Setiausaha Negara AS bagi Hal Ehwal Near Eastern, Yael Lambert dan Timbalan Penolong Setiausaha Negara bagi Israel dan Hal Ehwal Palestin, Hady Amr, di bandar Ramallah, Tebing Barat.

Agensi berita Palestin (WAFA) melaporkan Mahmoud menggesa dua diplomat AS itu memastikan Israel segera menghentikan serangannya terhadap Palestin dan menghormati sepenuhnya undang-undang dan sejarah berkaitan Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur.

Menurut WAFA, Abbas menganggap Israel bertanggungjawab sepenuhnya atas kemerosotan keadaan di wilayah Palestin, terutama di Baitulmaqdis Timur dan di Masjid al-Aqsa.

"Palestin kini tidak mempunyai wawasan politik di tengah-tengah keengganan Israel menghentikan tindakan sebelah pihak.

"Sekiranya mereka tidak mematuhi perjanjian yang ditandatangani, kepimpinan Palestin berhak untuk melaksanakan keputusan Majlis Pusat PLO dalam masa terdekat," katanya.

Beliau turut memberi amaran terhadap peningkatan berterusan pencerobohan Israel di wilayah itu termasuk ke bandar, kampung dan kem Palestin.

Tambah Mahmoud, pembunuhan rakyat Palestin dan lain-lain 'serangan kejam di Tebing Barat, akan membawa kepada akibat buruk yang tidak dapat ditanggung kedua-dua pihak'.

"Adalah penting untuk mewujudkan wawasan politik yang akan membawa kepada penamatan pendudukan Israel di wilayah Palestin, termasuk Baitulmaqdis Timur," katanya yang turut menggesa pembukaan semula Konsulat AS di Baitulmaqdis Timur.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Palestin berkata sejak Januari lalu, 42 rakyat termasuk wanita dan kanak-kanak Palestin dibunuh tentera Israel di Tebing Barat.

Dalam pada itu, 14 warga Israel terbunuh dalam siri serangan tembakan di Israel sejak 22 Mac lalu.

Dua diplomat tinggi AS itu dalam rangka lawatan ke Israel, Jordan dan Tebing Barat dalam usaha menamatkan gelombang ketegangan di Tebing Barat serta Baitulmaqdis Timur.

Krisis antara Israel dan Palestin memuncak di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur sejak beberapa minggu lalu apabila perayaan Paskah Yahudi bertindih dengan bulan suci Ramadan.

Perkarangan Masjid al-Aqsa adalah tapak suci bagi umat Islam dan Yahudi, yang menggelar lokasi sama sebagai Temple Mount. - AGENSI

Berita Harian X