Isnin, 18 April 2022 | 3:59pm
Jumlah jangkitan harian COVID-19 India meningkat dua kali ganda melebihi 2,000 kes hari ini, kali pertama melebihi angka itu dalam sebulan. - Foto AFP
Jumlah jangkitan harian COVID-19 India meningkat dua kali ganda melebihi 2,000 kes hari ini, kali pertama melebihi angka itu dalam sebulan. - Foto AFP

Jangkitan COVID-19 India paling tinggi dalam sebulan

NEW DELHI: Jumlah jangkitan harian COVID-19 di India bertambah dua kali ganda hari ini kepada lebih 2,000 kes buat pertama kalinya dalam sebulan.

Data kerajaan juga menunjukkan wilayah selatan Kerala melaporkan peningkatan angka kematian.

Angka jangkitan di India sebelum ini mula mencatatkan penurunan dan keperluan pemakaian pelitup muka turut dilonggarkan.

Bagaimanapun, peningkatan kes kepada 2,183 jangkitan baharu, menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 sebanyak lebih 43 juta.

Mengikut data kementerian kesihatan, sebanyak 214 kematian dilaporkan termasuk 151, pada 13 April lalu di wilayah selatan Kerala.

India turut melaporkan kira-kira 522,000 kematian akibat wabak berkenaan, bagaimanapun angka sebenar kematian dianggarkan mencecah 4 juta daripada beberapa puluhan juta kes.

Kerajaan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Narendra Modi berkali-kali menolak anggaran lebih tinggi dan menyatakan model pengiraan yang digunakan untuk menganggarkan kematian di negara lebih kecil tidak boleh diguna pakai di India.

Selain Kerala, ibu kota Delhi dan wilayah Maharashtra dan Haryana turut merekodkan jumlah kes tiga angka dan peningkatan jangkitan dalam tempoh 24 jam yang lalu.

Bagaimanapun, kemasukan ke hospital kekal rendah walaupun berlaku peningkatan kes beberapa hari lalu, terutama apabila semua sekatan digugurkan. - REUTERS

Berita Harian X