Rabu, 13 April 2022 | 5:36pm
Orang ramai menunggu untuk membeli minyak tanah di stesen minyak di tengah-tengah kekurangan bahan api di Colombo, Sri Lanka. - Foto EPA
Orang ramai menunggu untuk membeli minyak tanah di stesen minyak di tengah-tengah kekurangan bahan api di Colombo, Sri Lanka. - Foto EPA

Sri Lanka minta rakyat di luar negara hantar wang tunai

COLOMBO: Sri Lanka menggesa rakyatnya di luar negara menghantar wang ke dalam negara untuk membantu membayar harga makanan dan minyak yang sangat diperlukan selepas hutang asingnya dicatatkan berjumlah AS$51 bilion (RM215 bilion).

Negara kepulauan itu berada dalam cengkaman krisis ekonomi terburuk sejak kemerdekaan pada 1948, menghadapi kekurangan barang keperluan yang teruk dan bekalan elektrik terputus menyebabkan kesukaran yang teruk.

Pihak berkuasa sedang berhadapan kemarahan orang ramai dan protes menuntut peletakan jawatan kerajaan sebelum rundingan untuk bantuan menyelamat oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Gabenor Bank Pusat, iNandalal Weerasinghe, berkata beliau memerlukan rakyat Sri Lanka di luar negara untuk "menyokong negara pada masa penting ini dengan menderma melalui pertukaran wang asing yang amat diperlukan".

Rayuan itu dibuat sehari selepas kerajaan mengumumkan penangguhan pembayaran balik semua hutang luar negara, yang kini digunakan bagi menambah bekalan petroleum, farmaseutikal dan keperluan lain yang semakin berkurangan.

Weerasinghe berkata, beliau menyediakan akaun bank untuk derma di Amerika Syarikat, Britain dan Jerman serta berjanji wang itu akan dibelanjakan di tempat yang paling diperlukan.

Bank itu "memastikan bahawa pemindahan mata wang asing itu akan digunakan hanya untuk mengimport barang keperluan, termasuk makanan, bahan api dan ubat-ubatan", kata Weerasinghe dalam satu kenyataan.

Pengumuman semalam itu akan menjimatkan kira-kira AS$200 juta (RM846.1 juta) pembayaran faedah Sri Lanka yang tertunggak.

Katanya, wang itu juga akan dialihkan untuk membayar import penting.

Rayuan Weerasinghe setakat ini disambut dengan keraguan daripada warga Sri Lanka di luar negara.

"Kami tidak kisah untuk membantu, tetapi kami tidak boleh mempercayai kerajaan dengan wang tunai kami," kata seorang doktor Sri Lanka di Australia kepada AFP, meminta namanya dirahsiakan.

Seorang jurutera perisian Sri Lanka di Kanada berkata, beliau tidak yakin bahawa wang itu akan dibelanjakan untuk golongan yang memerlukan.

"Ini boleh berjalan dengan cara yang sama seperti dana tsunami," katanya kepada AFP, merujuk kepada berjuta-juta dolar yang diterima pulau itu sebagai bantuan selepas bencana Disember 2004, yang meragut sekurang-kurangnya 31,000 nyawa di pulau itu.

Sebahagian besar daripada sumbangan wang tunai asing yang dimaksudkan untuk mangsa yang terselamat dikhabarkan telah berakhir di dalam poket ahli politik, termasuk Perdana Menteri, Mahinda Rajapaksa, yang terpaksa memulangkan dana bantuan tsunami yang dikreditkan ke akaun peribadinya.

Krisis ekonomi yang melanda Sri Lanka mula dirasai selepas pandemik COVID-19 menular yang menjejaskan pendapatan penting daripada pelancongan dan kiriman wang.

Kerajaan mengenakan larangan import yang meluas untuk memulihara rizab mata wang asing yang semakin berkurangan dan menggunakannya untuk membayar hutang yang kini telah gagal dibayar.

Namun, masalah berkenaan mencetuskan kemarahan orang ramai, yang mana dilihat ada yang berbaris panjang sepanjang hari di seluruh pulau untuk mendapatkan bekalan petrol dan minyak tanah yang kini digunakan sebagai bahan api memasak di dapur di isi rumah yang lebih miskin.

Sekurang-kurangnya lapan orang maut ketika menunggu dalam barisan bagi mendapatkan bekalan minyak sejak bulan lalu.

Pakar ekonomi berkata, krisis itu diburukkan lagi oleh salah urus kerajaan, pinjaman terkumpul bertahun-tahun dan pemotongan cukai yang tidak diingini.

Orang ramai menyerbu rumah pemimpin kerajaan, dan pasukan keselamatan telah menyuraikan penunjuk perasaan dengan gas pemedih mata dan peluru getah.

Beribu-ribu orang berkhemah di luar pejabat Presiden, Gotabaya Rajapaksa di ibu negara Colombo untuk melakukan protes yang masuk hari kelima dengan menggesa beliau berundur. - AFP

Berita Harian X