Sabtu, 2 April 2022 | 9:32am
Krisis Russia-Ukraine menjejaskan bekalan makanan menjelang Ramadan. - Foto AGENSI
Krisis Russia-Ukraine menjejaskan bekalan makanan menjelang Ramadan. - Foto AGENSI

Krisis Russia-Ukraine jejas bekalan makanan menjelang Ramadan

BEIRUT: Pencerobohan Russia ke atas Ukraine menyebabkan masalah bekalan makanan di Afrika dan Timur Tengah serta menjejaskan persiapan bulan Ramadan.

Dari Lubnan ke Tunisia dan Somalia, umat Islam yang secara tradisinya berbuka puas dengan hidangan keluarga yang lazat, kini bergelut untuk mendapatkan makanan yang paling asas memandangkan kenaikan harga makanan dan bahan api.

Russia dan Ukraine, dengan kawasan penanaman bijirin yang luas yang menjadi antara pengeluar roti utama dunia menyumbang sebahagian besar eksport dunia dalam beberapa komoditi utama seperti gandum, minyak sayuran dan jagung.

Gangguan dalam aliran eksport akibat pencerobohan Russia dan sekatan antarabangsa mencetuskan kebimbangan terhadap krisis makanan global, terutama di seluruh Timur Tengah dan Afrika, dengan kesan sudah mula dilihat.

"Harga yang tinggi menjejas dan merosakkan semangat Ramadan," kata Sabah Fatoum, seorang penduduk di Gaza yang disekat Israel dengan harga barangan pengguna meningkat sehingga 11 peratus, menurut pihak berkuasa Palestin.

Harga makanan di Yaman meningkat dua kali ganda sejak tahun lalu dan fakta Ukraine membekalkan hampir satu pertiga daripada import gandum ke negara itu meningkatkan kebimbangan mengenai kebuluran yang semakin teruk.

Mohsen Saleh, seorang penduduk di Sanaa, ibu kota Yaman, berkata setiap tahun harga meningkat menjelang Ramadan, tetapi tahun ini ia meningkat secara drastik dan ramai orang tidak dapat menerimanya," katanya.

Di Syria, dengan konflik sejak 2011 menyebabkan 60 peratus penduduknya terjerumus dalam ketidakjaminan makanan.

Harga minyak masak meningkat lebih dua kali ganda sejak permulaan perang Ukraine dan dijual dalam kuantiti terhad.

Begitu juga di Tunisia apabila dermawan yang sebelum ini pemurah kini turut bergelut untuk mendapatkan sumber asas bagi diri mereka sendiri.

Di Lubnan, rangkaian pertubuhan amal tempatan semakin bermasalah apabila krisis Ukraine menimbulkan lebih banyak tekanan ke atas penduduk yang dilanda krisis ekonomi yang tidak pernah berlaku sebelum ini sejak 2019.

Mesir, pengimport utama gandum dari negara bekas Soviet, mengetatkan perbelanjaan mereka menjelang Ramadan.

Arab Saudi yang kaya dengan minyak turut merasai tekanan.

"Semuanya semakin mahal, setiap kali saya membayar sekitar 20 hingga 30 riyal (kira-kira RM22 hingga RM33) lebih untuk produk yang sama," kata Ahmad al-Assad, seorang pekerja sektor swasta.

Qatar bagaimanapun terkecuali apabila kerajaan menurunkan harga makanan menjelang Ramadan.

Berita Harian X