Rabu, 30 March 2022 | 11:31am
Penduduk melihat kereta yang terkandas dalam air banjir di pinggir barat daya Sydney pada 8 Mac 2022, ketika beribu-ribu penduduk Sydney telah diminta berpindah dari kawasan rendah akibat hujan lebat dan banjir kilat. - Foto AFP
Penduduk melihat kereta yang terkandas dalam air banjir di pinggir barat daya Sydney pada 8 Mac 2022, ketika beribu-ribu penduduk Sydney telah diminta berpindah dari kawasan rendah akibat hujan lebat dan banjir kilat. - Foto AFP

Hujan lebat cetus pusingan baharu pemindahan banjir

SYDNEY: Hujan lebat di timur Australia semalam mencetuskan arahan pemindahan untuk beribu-ribu penduduk yang bimbang banjir buat kali kedua bulan ini apabila pihak berkuasa memberi amaran cuaca buruk berkemungkinan berterusan untuk 24 jam akan datang.

Angka kematian akibat banjir terbaharu meningkat kepada dua orang apabila seorang lelaki ditemui mati di negeri Queensland selepas kenderaannya terperangkap dalam air banjir.

Beberapa bandar di seluruh utara New South Wales dan tenggara Queensland masih bergelut untuk membersihkan bertan-tan serpihan selepas banjir dahsyat awal Mac lalu yang mengorbankan sekurang-kurangnya 21 orang dan menghanyutkan ratusan ladang, rumah dan ternakan.

Banyak bangunan yang ditenggelami air sebulan lalu di beberapa kawasan yang paling teruk dilanda banjir dijangka dinaiki air semula, kata Menteri Perkhidmatan Kecemasan New South Wales, Stephanie Cooke kepada pemberita.

"Ia adalah realiti malang situasi semasa yang kita hadapi," kata Cooke.

Di tengah-tengah usaha pemulihan, Biro Meteorologi semalam memberi amaran mengenai banjir kilat yang berpotensi mengancam nyawa di sepanjang pantai utara New South Wales merentasi jarak lebih 500 kilometer (km).

Mungkin terdapat hujan sehingga 300 milimeter (mm) di beberapa wilayah dalam tempoh enam jam, kata biro cuaca.

Dengan paras sungai yang semakin meningkat, penduduk di bandar Lismore di utara New South Wales, antara yang paling teruk dilanda banjir sejak sebulan lalu, diarah berpindah menjelang petang semalam.

"Kami benar-benar berharap pada tuhan hari ini," kata Datuk Bandar, Lismore Steve Krieg kepada televisyen Channel Nine semalam.

Krieg berkata, satu lagi banjir dalam beberapa minggu ketika penduduk berada di landasan yang betul 'benar-benar meletihkan secara emosi dan mental'.

"Satu lagi, bersedialah kita sekali lagi," kata pemilik perniagaan, Lismore Paul Sullivan, kepada penyiar ABC, selepas membersihkan kedainya untuk mengehadkan sebarang kerosakan banjir.

"Sekurang-kurangnya selepas air masuk, tiada apa-apa lagi di sini yang boleh ditolak keluar ke dalam longkang."

Rakaman televisyen menunjukkan penduduk mengambil beg pasir daripada perkhidmatan kecemasan sebelum meninggalkan rumah mereka.

Kira-kira 3,300 anggota tentera akan kekal di kawasan yang dilanda banjir untuk membantu memindahkan penduduk, kata Jabatan Pertahanan.

Di tengah-tengah kritikan terhadap bantuan yang perlahan, Perdana Menteri, Scott Morrison, yang ketinggalan dalam pengundian pada tahun pilihan raya, telah mengisytiharkan banjir sebagai kecemasan negara dan menetapkan zon malapetaka di bandar-bandar yang dilanda banjir yang akan menerima dana pemulihan tambahan.

Musim panas di pantai timur Australia telah didominasi oleh corak cuaca La Nina, biasanya dikaitkan dengan peningkatan hujan, untuk tahun kedua berturut-turut, dengan banyak sungai sudah menghampiri kapasiti sebelum hujan lebat kuyup terkini.

Beberapa tempat menerima kira-kira 280 mm hujan dalam tempoh 24 jam sehingga 9 pagi (waktu tempatan) semalam, data rasmi menunjukkan. - REUTERS

Berita Harian X