Sabtu, 12 March 2022 | 12:49pm
Gambar hiasan - FOTO AFP
Gambar hiasan - FOTO AFP

Konflik Ukraine boleh lonjak harga makanan global - FOA

AMMAN: Agensi bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam memberikan amaran, harga makanan antarabangsa boleh meningkat hingga 20 peratus akibat konflik di Ukraine.

Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) yang berpangkalan di Rom berkata, ia sekali gus boleh turut mencetuskan lonjakan masalah kekurangan zat makanan global.

Katanya, tidak dapat dipastikan sama ada Ukraine dapat menuai hasil tanaman jika konflik itu berlarutan, manakala ketidaktentuan juga menyelubungi prospek eksport Russia pada tahun mendatang, lapor agensi berita Jordan (Petra).

FAO memaklumkan, Russia adalah pengeksport gandum terbesar di dunia, manakala Ukraine pula kelima terbesar.

Jumlah tanaman kedua-dua negara itu menyumbang 19 peratus daripada bekalan barli dunia, gandum (14 peratus) serta jagung (empat peratus), merangkumi lebih satu pertiga daripada eksport bijirin global.

Selain itu, Russia juga merupakan peneraju utama dunia dalam eksport baja. – BERNAMA

Berita Harian X