X
Selasa, 1 March 2022 | 8:54pm
Pelajar warga India yang keluar dari Ukraine berehat di sebuah dewan sukan di Voluntari, Ilfov, dekat Bucharest, Romania. - Foto REUTERS
Pelajar warga India yang keluar dari Ukraine berehat di sebuah dewan sukan di Voluntari, Ilfov, dekat Bucharest, Romania. - Foto REUTERS

Pelajar India maut dalam serangan di Ukraine

NEW DELHI: Seorang pelajar India terbunuh dalam serangan di Ukraine hari ini, kata New Delhi, yang menggesa Moscow dan Kyiv memastikan laluan keluar yang selamat untuk kira-kira 12,000 warga India yang masih terkandas di Ukraine.

Jurucakap Kementerian Luar India, Arindam Bagchi, yang mengesahkan perkara itu, berkata pelajar berkenaan maut akibat serangan artileri di Kharkiv.

"Setiausaha Luar India memanggil kedutaan Russia dan Ukraine untuk mengulangi gesaan kami supaya memastikan laluan keluar yang selamat untuk warga India masih berada di Kharkiv dan beberapa bandar lain di zon konflik," katanya menerusi Twitter.

Kharkiv yang juga bandar kedua terbesar di Ukraine, menjadi sasaran Russia sejak Presiden Russia, Vladimir Putin melancarkan pencerobohan ke atas negara Eropah Timur itu sejak Khamis lalu.

Menurut gabenor wilayah Kharkiv, kawasan pusat bandar yang berhampiran sempadan Russia itu diserang artileri bertubi-tubi hari ini, selain tentera Russia turut menyerang bangunan pentadbiran tempatan.

Sebelum pencerobohan Russia, sejumlah 20,000 warga India direkodkan berada di Ukraine dan kira-kira 8,000 daripadanya sudah meninggalkan negara itu, dengan 1,400 diterbangkan kembali ke India.

Media India melaporkan, beberapa pelajar India di Ukraine berdepan kesukaran untuk masuk ke negara jiran, dengan pihak berkuasa sempadan Unraine didakwa enggan melepaskan mereka dan meminta wang.

India menjalin hubungan secara berhati-hati dengan Moscow dan Barat serta memperoleh kebanyakan senjatanya daripada Russia.

Ia juga memilih untuk berkecuali ketika undian resolusi mengecam Russia dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC), minggu lalu. - AFP

Berita Harian X