X
Isnin, 28 Februari 2022 | 7:58pm
Kumpulan pelajar India yang terkandas selepas Ukraine diserang Russia dilihat meninggalkan Lapangan terbang Chennai di India, sejurus tiba dari Ukraine dengan bantuan Kedutaan India di Kyiv. - Foto EPA
Kumpulan pelajar India yang terkandas selepas Ukraine diserang Russia dilihat meninggalkan Lapangan terbang Chennai di India, sejurus tiba dari Ukraine dengan bantuan Kedutaan India di Kyiv. - Foto EPA

PM India tawar bantuan rundingan damai Ukraine-Russia

NEW DELHI: Perdana Menteri India, Narendra Modi, menawarkan untuk membantu mengaturkan rundingan damai bagi menyelesaikan perang Russia-Ukraine yang semakin serius.

Pemimpin itu menyuarakan hasrat berkenaan menerusi panggilan telefon kepada Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, baru-baru ini.

Kerajaan India dalam satu kenyataan, berkata Modi meluahkan kesedihan mendalam mengenai kehilangan nyawa dan kemusnahan harta benda akibat konflik yang berterusan di Ukraine.

Sehubungan itu, Modi mengulangi gesaannya supaya keganasan dihentikan serta-merta dan pihak berkaitan perlu kembali mengadakan rundingan.

Menurut kenyataan sama, Modi memaklumkan India bersedia 'menyumbang dalam apa saja cara ke arah mencapai usaha damai'.

Tambah kenyataan berkenaan, Zelensky turut menerangkan kepada Modi mengenai konflik semasa di Ukraine, namun butiran terperinci tidak didedahkan.

Modi juga membangkitkan isu keselamatan rakyat India khususnya pelajar yang terkandas di Ukraine dan meminta bantuan untuk memindahkan mereka ke tempat selamat.

Dalam pada itu, India menghantar pasukannya ke Poland, Hungary dan Romania bagi memindahkan rakyatnya terkandas di sana, selepas diminta untuk ke negara-negara jiran Ukraine.

Sebuah pesawat India yang membawa kira-kira 200 pelajar yang dipindahkan dari Ukraine melalui Romania, tiba di Mumbai, kelmarin.

Jumaat lalu, India bersama China dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) memilih untuk berkecuali dalam undian resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) yang mengecam pencerobohan Moscow ke atas Ukraine.

Tindakan India mengundang kritikan Barat, namun menerima pujian dari Russia yang sudah lama menjalin hubungan pertahanan dengan negara itu.

Kedutaan Russia di New Delhi menerusi ciapan di Twitter menyatakan pihaknya menghargai kedudukan `bebas dan seimbang' India dalam undian berkenaan.

India bergantung pada sokongan dan kuasa veto Russia dalam UNSC membabitkan pertikaiannya dengan Pakistan berhubung isu Kashmir. - REUTERS

Berita Harian X