Isnin, 28 Februari 2022 | 10:19am
Sungai Brisbane sudah melimpah di Queensland, semalam. - Foto AFP
Sungai Brisbane sudah melimpah di Queensland, semalam. - Foto AFP
Penduduk dipindahkan dari bandar Lismore, New South Wales, pagi tadi. - Foto EPA
Penduduk dipindahkan dari bandar Lismore, New South Wales, pagi tadi. - Foto EPA
Penduduk terjejas di Lismore, pagi tadi. - Foto EPA
Penduduk terjejas di Lismore, pagi tadi. - Foto EPA

Lapan lemas dalam banjir Australia

SYDNEY: Beribu-ribu orang di pantai timur Australia diarahkan meninggalkan kediaman mereka susulan hujan lebat, menenggelamkan beberapa bandar. Sebahagian penduduk terkandas di atas bumbung dan pihak berkuasa memberi amaran banjir itu mengancam nyawa.

Angka kematian meningkat kepada lapan orang hari ini, dengan korban terbaharu membabitkan seorang lelaki dihanyutkan arus, ketika cuba menyeberangi jalan yang dinaiki air, kata perkhidmatan kecemasan.

Sungai Brisbane di bandar ketiga terbesar di Australia menghampiri kemuncak yang dijangka awal hari dengan kira-kira 15,000 rumah di bandar itu terjejas akibat kenaikan air.

Perdana Menterinya, Scott Morrison menyifatkan hujan itu sebagai 'bom hujan' yang kini bergerak perlahan ke selatan ke New South Wales, negeri paling ramai penduduk di Australia.

Morrison memberitahu stesen radio 4BC, anggota pertahanan akan ditempatkan di kawasan yang dilanda banjir.

Tenggara Queensland dibadai ribut teruk setakat ini, menjadi tumpuan anggota perkhidmatan kecemasan, bagi menyelamatkan beberapa mangsa yang terperangkap di rumah.

Lebih 1,000 sekolah sudah ditutup, selain kira-kira 50,000 kediaman mengalami gangguan bekalan elektrik.

Beberapa wilayah di negeri ini merekodkan jumlah hujan tertinggi bulan ini dengan beberapa tempat menerima jumlah hujan lebih daripada sebulan dalam masa satu hari.

Musim panas pantai timur Australia didominasi corak iklim La Nina, yang biasanya dikaitkan dengan hujan lebih besar.

Di New South Wales, perintah pengosongan kediaman sudah dikeluarkan membabitkan beberapa bandar, termasuk Lismore yang terletak kira-kira 700 kilometer di utara Sydney. - REUTERS

Pemuda melalui jalan raya yang ditenggelami air limpahan Sungai Brisbane. - Foto AFP
Pemuda melalui jalan raya yang ditenggelami air limpahan Sungai Brisbane. - Foto AFP

Berita Harian X