X
Ahad, 27 Februari 2022 | 4:01pm
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, pencerobohan Russia ke atas Ukraine telah memaksa hampir 150,000 orang melarikan diri ke negara jiran. - Foto AFP
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, pencerobohan Russia ke atas Ukraine telah memaksa hampir 150,000 orang melarikan diri ke negara jiran. - Foto AFP

Duta China ke Ukraine tangguh pemindahan warganya

BEIJING: Duta China ke Ukraine berkata, keadaan terkini tidak selamat bagi memindahkan warganegara China dari negara itu, beberapa hari selepas kedutaan itu menyatakan kesediaan membantu orang ramai menyelamatkan diri selepas pencerobohan Russia ke negara berkenaan.

Dalam satu mesej video yang panjang lebar di akaun WeChat rasmi kedutaan itu, Duta Besar China, Fan Xianrong, menangkis khabar angin yang menyatakan beliau sudah meninggalkan Kyiv dan meyakinkan warga China yang terkandas di negara dilanda perang itu.

"Kita mesti tunggu sehingga benar-benar selamat sebelum bertolak

"Selagi syarat keselamatan dipenuhi dan keselamatan semua orang terjamin, kami akan membuat pengaturan yang sewajarnya," kata Xianrong dari pejabatnya, duduk di hadapan bendera China.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, pencerobohan Russia ke atas Ukraine, yang bermula Khamis lalu menyebabkan hampir 150,000 orang melarikan diri ke negara jiran.

Sebelum pencerobohan itu, beberapa negara, termasuk United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS) dan Jepun, memindahkan diplomat mereka dan menggesa warganegara masing-masing meninggalkan negara itu berikutan kebimbangan meletusnya peperangan.

China, yang mengelak daripada mengutuk sekutu rapatnya Russia sepanjang krisis itu, menunggu sehingga Khamis sebelum mengumumkan bahawa ia akan menyediakan penerbangan sewa khas bagi memindahkan warganya.

Ukraine menutup ruang udaranya kepada penerbangan awam pada hari yang sama, kerana bimbang dengan risiko terkena tembakan senjata.

"Beberapa hari kebelakangan ini, seperti orang lain, kami sentiasa mendengar siren, letupan dan tembakan dan kami berulang kali bersembunyi di ruangan bawah tanah. Ia seumpama adegan yang sebelum ini kita lihat dalam filem," kata Xianrong.

Beliau juga menggesa warga China untuk 'tidak bergaduh dengan penduduk tempatan', selepas beberapa media sosial mendakwa meningkatnya permusuhan terhadap warga China oleh warga Ukraine.

"Rakyat Ukraine berada dalam keadaan yang sukar dan sangat menderita. Kita mesti memahami perasaan mereka dan tidak melakukan provokasi kepada mereka," katanya.

Semalam, Kedutaan China menggesa rakyatnya untuk 'menahan diri... daripada memaparkan identiti mereka', hanya beberapa hari selepas meminta mereka yang mahu meninggalkan Kyiv memasang bendera China dengan jelas pada kenderaan masing-masing.

China sebelum ini berkata kira-kira 6,000 warga China berada di Ukraine untuk bekerja dan belajar.

Menteri Luar China, Wang Yi, memberitahu rakan sejawatannya dari Jerman, Annalena Baerbock, dalam panggilan telefon semalam, menegaskan China tidak menyokong sekatan ke atas Russia dan sebarang 'tindakan keselamatan perlu ditangani dengan sewajarnya'.

Beijing mengundi untuk berkecuali dalam resolusi Majlis Keselamatan PBB Jumaat lalu yang mengecam tindakan Russia ke atas Ukraine, selepas negara itu menggunakan kuasa veto untuk menceroboh Ukraine. - AFP

Berita Harian X