Khamis, 24 Februari 2022 | 1:32pm
Pasukan keselamatan memeriksa lokasi serangan Israel yang memusnahkan sebuah kenderaan dan mengorbankan seorang pejuang Syria disokong Turki di bandar Azaz di Syria. - Foto AFP
Pasukan keselamatan memeriksa lokasi serangan Israel yang memusnahkan sebuah kenderaan dan mengorbankan seorang pejuang Syria disokong Turki di bandar Azaz di Syria. - Foto AFP

3 askar Syria maut serangan tentera Israel

DAMSYIK: Serangan udara tentera Israel berhampiran bandar raya Damsyik pagi tadi menyebabkan tiga askar Syria terbunuh, menurut media kerajaan Syria.

Ia adalah serangan kali keempat dilaporkan pada bulan ini oleh rejim Yahudi itu di Syria.

"Musuh Israel melancarkan serangan udara dengan menggunakan beberapa peluru berpandu," lapor media kerajaan SANA, yang turut mengesahkan kematian tiga askar Syria.

Ia turut menyatakan bahawa Kementerian Pertahanan Syria berjaya memintas kebanyakan peluru berpandu Israel dalam serangan yang berlaku kira-kira jam 1.10 pagi.

Pertubuhan Badan Pemantau Untuk Hak-hak Asasi Syria yang berpangkalan di Britain melaporkan letupan kedengaran di Damsyik dan pinggir bandar raya itu.

Sejak perang saudara meletus di Syria pada tahun 2011, Israel melakukan ratusan serangan udara ke atas wilayah Syria.

Ia menyasarkan kedudukan kerajaan dan tentera sekutu yang disokong Iran serta para anggota gerakan militan Syiah, Hizbollah.

Israel jarang mengulas mengenai serangan udara yang dilakukannya di Syria. - AGENSI

Berita Harian X