Rabu, 23 Februari 2022 | 4:17pm
Keadaan banjir di jeti Feri Parramatta di Sungai Parramatta di Sydney, Australia. - Foto EPA
Keadaan banjir di jeti Feri Parramatta di Sungai Parramatta di Sydney, Australia. - Foto EPA

Seorang maut, 10 dikhuatiri hilang dalam banjir di Australia

BRISBANE: Satu mayat ditemui dalam sebuah kereta yang tenggelam, manakala 10 lagi dilaporkan hilang hari ini selepas hujan lebat mengakibatkan banjir kilat di timur Australia.

Keadaan itu memaksa pihak berkuasa mengumumkan amaran kecemasan di bahagian atas dan bawah pantai pasifik.

Ketua Menteri, Annastacia Palaszszuk, yang bercakap di Parlimen berkata, mayat mangsa yang berumur 60 tahun ditemui awal hari ini di Queensland sambil menyifatkan insiden berlaku sebagai satu tragedi.

Beberapa kawasan di negeri berkenaan merekodkan kapasiti taburan hujan setengah meter dalam temph 24 jam, sekali gus memaksa beberapa jalan raya ditutup dan sistem pengangkutan bertukar kelam-kabut.

Perkhidmatan kecemasan menerima lebih 100 panggilan telefon, memohon bantuan dan kru penyelamat air dikerahkan segera bagi membantu puluhan penduduk yang terkandas.

"Ini ada potensi untuk menjadi musim hujan ketara bagi selatan-timur Queensland," kata Palasczuk.

Hujan lebat juga mengakibatkan sebuah kereta api pengangkut barang terbalik berhampiran bandar Gympie.

Bagaimanapun, pemandunya dilaporkan hanya cedera ringan.

Media tempatan yang memetik Polis Daerah Pantai Sunshine, Superitendan Craig Hawkin, melaporkan terdapat 10 orang dipercayai hilang.

Sebanyak 15 empangan di Queensland berada pada kapasiti penuh dan lebih banyak taburan hujan pada masa akan datang.

"Hujan lebat di sini mungkin berlaku dan memandangkan banyak kawasan tadahan kini tepu, risiko banjir kilat berbahaya dan mengancam nyawa akan meningkat dalam beberapa hari akan datang," kata Palaszczuk.

Polis turut memberi amaran kepada pemandu kenderaan supaya mengelak melalui jalan yang digenangi banjir dan duduk di rumah.

"Banjir kilat melanda jalan raya dan jambatan. Sila pertimbangkan semula keperluan anda untuk melakukan perjalanan hari ini," kata polis kepada penduduk.

Selain Queensland, hujan lebat juga melanda New South Wales di mana beberapa bahagian di Sydney ditenggelami air sebentar tadi. - AFP

Berita Harian X