Jumaat, 18 Februari 2022 | 11:11am
Kenderaan ujian COVID-19 bergerak dari tanah besar China tiba di Pusat Kawalan Teluk Shenzhen, Hong Kong bagi membantu membendung penularan coronavirus. - Foto REUTERS
Kenderaan ujian COVID-19 bergerak dari tanah besar China tiba di Pusat Kawalan Teluk Shenzhen, Hong Kong bagi membantu membendung penularan coronavirus. - Foto REUTERS

Pekerja perubatan China bantu ujian COVID-19 di Hong Kong

HONG KONG: Pekerja perubatan China dibawa ke Hong Kong untuk menguji sejuta penduduk sehari ketika bandar itu meningkatkan usaha mengekang kes COVID-19.

Menurut media tempatan, mereka yang membantah arahan itu akan dikenakan denda HK$10,000 (RM5,365), lapor Sing Tao Daily, memetik kenyataan sumber.

Langkah itu adalah sebahagian daripada rancangan ujian besar-besaran seluruh bandar, taktik yang digunakan di tanah besar ketika hab kewangan itu menghadapi tempoh wabak coronavirus yang paling mencabar.

Portal berita dalam talian, HK01, berkata ujian di seluruh bandar akan bermula pada awal Mac dan dijalankan seminggu sekali selama tiga minggu, walaupun Hong Kong dan tanah besar masih membincangkan butirannya, menurut laporan itu.

Pandemik di tanah besar berjaya dibendung melalui ujian yang kerap dan secara meluas tetapi China tidak pernah menggunakan perangkaan itu bagi wabak sebesar ini.

Tidak jelas juga di mana Hong Kong, yang kini sedang bergelut untuk mencari lebih banyak unit pengasingan dan kuarantin, akan menempatkan mereka yang diuji positif, meskipun bandar itu bertegas mampu mencapai sifar kes COVID-19.

Pengerusi Epidemiologi Universiti Hong Kong, Prof Benjamin Cowling, berkata pada kadar penyebaran sekarang, mungkin terdapat puluhan ribu kes baru setiap hari pada awal Mac.

"Kami kami tahu bahawa tidak setiap jangkitan akan disahkan, jadi jumlah jangkitan yang dikesan dalam ujian besar-besaran mungkin sangat tinggi pada ketika itu.

"Melakukan ujian besar-besaran pada April atau Mei, apabila gelombang kelima reda, memberikan kami keupayaan untuk mengasingkan yang positif, malah mungkin dapat membantu bandar kembali kepada sifar kes harian jika itu objektifnya," katanya.

Presiden China, Xi Jinping, menggesa supaya bandar dengan kira-kira 7.5 juta penduduk itu mengambil semua langkah perlu untuk membendung COVID-19.

Tegas beliau, wabak yang semakin berleluasa, berlaku selepas berbulan-bulan bebas virus, menjejas pendekatan sifar tolak ansur China dalam menyekat virus itu.

Sementara negara lain di dunia mula hidup bersama COVID-19, Beijing tetap meneruskan proses mengurangkan kes, termasuk ujian sebagai alat utama selain kawalan sempadan yang ketat dan tempoh panjang kuarantin mandatori.

Ini adalah kali pertama bagi Hong Kong menguatkuasakan ujian di seluruh bandar sejak wabak itu bermula, dengan varian Omicron yang lebih mudah berjangkit memberi cabaran utama untuk mengekalkan strategi 'sifar-COVID-19'. - AGENSI

Berita Harian X