Khamis, 17 Februari 2022 | 11:24am
Kenderaan tentera Israel dilihat berhampiran papan tanda amaran ketika latihan ketenteraan di Golan Heights. - Foto AFP
Kenderaan tentera Israel dilihat berhampiran papan tanda amaran ketika latihan ketenteraan di Golan Heights. - Foto AFP

Israel serang selatan Damsyik

DAMSYIK: Sebuah pekan di selatan Damsyik mengalami kemusnahan harta benda selepas serangan udara Israel, menurut akhbar rasmi Syria.

Ini adalah serangan udara kedua terhadap Syria bulan ini, selepas regim Yahudi melancarkan siri serangan anti pesawat pada 9 Februari lalu bagi membalas serangan peluru berpandu Syria awal bulan ini.

"Musuh Israel melancarkan serangan beberapa peluru berpandu dari Golan Heights, menyasarkan pekan Zakiya sekitar jam 11.35 malam waktu tempatan," lapor agensi berita SANA, memetik sumber tentera.

Ketua Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria, Rami Abdel Rahman, berkata sasaran serangan semalam ialah sebuah pos tentera Syria.

Badan berpangkalan di United Kingdom (UK) itu menerima maklumat daripada rangkaian sumber dalaman di Syria.

Sejak perang saudara bermula di Syria pada 2011, Israel melancarkan ratusan serangan udara menyasarkan kedudukan kerajaan dan pejuang disokong Iran selain pejuang Hezbollah.

Israel mendakwa serangannya bertujuan memastikan musuh utamanya, Iran, tidak menjejakkan kaki di Syria. - AFP

Berita Harian X