Sabtu, 12 Februari 2022 | 6:34pm
Orang ramai beratur di pusat pemeriksaan COVID-19 sementara susulan peningkatan ketara jangkitan coronavirus di Hong Kong. - Foto REUTERS
Orang ramai beratur di pusat pemeriksaan COVID-19 sementara susulan peningkatan ketara jangkitan coronavirus di Hong Kong. - Foto REUTERS

Beijing bantu Hong Kong tangani gelombang kelima COVID-19

BEIJING: Pegawai dan pakar China menemui rakan sejawat mereka dari Hong Kong di Shenzhen bagi menangani ancaman gelombang kelima COVID-19 di pulau itu.

Mereka berbincang mengenai cara terbaik membantu Hong Kong memerangi gelombang kelima jangkitan coronavirus yang semakin meningkat, lapor akhbar South China Morning Post.

Pejabat Hal Ehwal Hong Kong dan Macau (HKMAO) peringkat Kabinet, dalam satu kenyataan, berkata pemerintah China sangat prihatin terhadap gelombang kelima COVID-19 yang menyerang Hong Kong.

Seorang jurucakap HKMAO berkata, mesyuarat berkenaan akan membincangkan langkah bagi menyokong usaha Hong Kong membendung pandemik serta menjamin bekalan dari Beijing ke bandaraya itu.

Sumber yang berpangkalan di Beijing berkata, mesyuarat itu boleh diadakan seawal hari ini dengan China bersiap sedia menghantar beribu-ribu kakitangan perubatan dan makmal bergerak serta jutaan kit ujian COVID-19 ke Hong Kong.

"HKMAO, pejabat perhubungan Hong Kong, Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan serta pegawai dari Guandong dan Shenzhen akan menyertai pegawai Hong Kong untuk menyemak senarai keperluan.

"Langkah pertama adalah untuk meningkatkan keupayaan ujian COVID-19 di Hong Kong, kemudian pengesanan kontak dan langkah kuarantin turut dibincangkan,'' katanya.

Pihak berkuasa China turut mengerahkan lebih ramai tenaga kerja di pusat pemeriksaan di sempadan untuk mempercepat pemprosesan trak rentas sempadan bagi mengurangkan masalah bekalan sayur-sayuran dan makanan segar.

Dalam pada itu, pegawai di Shenzhen sebelum ini mengesahkan bahawa tujuh pemandu trak diuji positif COVID-19 setakat Isnin lalu. - AGENSI

Berita Harian X