Sabtu, 4 Disember 2021 | 9:21am
Anggota Taliban di pasar menjual burung di Kabul. - Foto AFP
Anggota Taliban di pasar menjual burung di Kabul. - Foto AFP

Wanita tak boleh dipaksa berkahwin

AFGHANISTAN: Taliban mengeluarkan fatwa menegah kahwin paksa, manakala wanita tidak wajar dianggap sebagai harta dan persetujuan wanita mesti diperolehi, jika mahu dinikahi.

Namun, Taliban belum menjelaskan hak wanita untuk bekerja dan mendapat pendidikan tinggi, selepas kumpulan itu kembali menguasai Afghanistan pada pertengahan Ogos lalu.

Perintah itu diumumkan baru-baru ini oleh pemimpin mereka, Hibatullah Akhunzad, yang dipercayai berada di Kandahar.

"Kedua-dua (wanita dan lelaki) perlu sama rata. Tiada sesiapa boleh memaksa wanita berkahwin secara paksaan atau di bawah tekanan," kata arahan itu seperti yang dilaporkan dalam portal Al-Jazeera.

Bagaimanapun perintah itu tidak menyebut umur minimum untuk berkahwin, yang sebelum ini ditetapkan pada usia 16 tahun.

Taliban juga menyebut, seorang balu dibolehkan berkahwin selepas 17 minggu apabila kematian suaminya, dan diberi pilihan untuk memilih suami baharu.

Tradisi lama negara itu ialah seorang balu mengahwini seorang daripada saudara lelaki atau saudara mara bekas suaminya, sekiranya lelaki itu meninggal dunia.

Kepimpinan Taliban juga mengarahkan mahkamah Afghanistan untuk melayan wanita dengan adil, khusus apabila balu memohon pemilikan harta pusaka.

Agensi kerajaan juga menyebarkan kesedaran mengenai hak wanita dalam kalangan rakyat mereka.

Perkembangan baharu itu dilihat sebagai saat penting yang diperjuang oleh dua wanita terkemuka Afghanistan, namun timbul persoalan sama ada Taliban akan memperluas hak wanita dalam sektor pekerjaan pendidikan.

"Ini langkah besar, terbesar. Jika ia dilakukan seperti yang sepatutnya, ini kali pertama mereka mengeluarkan perintah seperti sedemikian," kata Mahbouba Seraj, Pengarah Eksekutif Pusat Pembangunan Skil Wanita Afghanistan.

Masyarakat antarabangsa membekukan dana berbilion dolar untuk Afghanistan menyatakan, hak wanita dan kemanusiaan perkara penting sebelum memberi kerjasama kepada negara itu.

Seraj turut berkata, sebelum Taliban menguasai negara itu pada 15 Ogos lalu, ahli politik negara berkenaan bergelut untuk membentuk dasar jelas mengenai hak wanita dalam perkahwinan. - Agensi

Kanak-kanak berdiri di rumah kelahiran Ketua Taliban, Hibatullah Akhundzada di Kampung Sperwan, Kandahar. - Foto AFP
Kanak-kanak berdiri di rumah kelahiran Ketua Taliban, Hibatullah Akhundzada di Kampung Sperwan, Kandahar. - Foto AFP

Berita Harian X