Selasa, 19 Oktober 2021 | 10:43pm
Menteri Dalam Negeri kerajaan Taliban, Sirajuddin Haqqani, yang juga pemimpin kanan jaringan Haqqani. - Foto EPA
Menteri Dalam Negeri kerajaan Taliban, Sirajuddin Haqqani, yang juga pemimpin kanan jaringan Haqqani. - Foto EPA

Menteri kanan Taliban puji pengebom berani mati

KABUL: Seorang tokoh paling kanan kerajaan Taliban memuji pengorbanan pengebom berani mati dalam pertemuan dengan keluarga mereka di Kabul.

Menteri Dalam Negeri, Sirajuddin Haqqani, yang disenaraikan sebagai pengganas oleh Amerika Syarikat (AS) dengan ganjaran AS$10 juta (RM41.7 juta) jika dia ditahan, semalam bertemu keluarga pengebom di Hotel Intercontinental, Kabul.

Media sosial pro-Taliban dan media tempatan hari ini menyiarkan gambar menteri itu berdoa dan menghargai tetamu di sebuah dewan di hotel mewah itu.

Haqqani memuji pengorbanan dan jihad pengebom berani mati, malah memanggil mereka 'hero Islam dan negara', lapor siaran televisyen Afghanistan, RTA.

Tambah laporan itu, Sirajuddin menegaskan keperluan untuk mengelak pembelotan aspirasi mereka yang mati syahid itu dan berjanji memberikan AS$125 (RM521) dan sebidang tanah untuk setiap keluarga.

Pada Januari 2018, Hotel Intercontinental diserbu oleh kumpulan Taliban bersenjata, Haqqani, melepaskan tembakan ke arah tetamu serta pekerja dan menahan puluh tebusan.

Ditubuhkan oleh bapa Sirajuddin, Jalaluddin, rangkaian Haqqani adalah cabang Taliban yang paling digeruni dan bertanggungjawab melakukan antara serangan paling kejam di Afghanistan dalam tempoh dua dekat lalu.

Mereka dianggap kumpulan separa autonomi kerana mempunyai sumber kewangan dan anggota kumpulan yang terkenal dengan kekejaman.

Serangan bom bunuh diri atau apa yang digelar Taliban sebagai operasi syahid, mula digunakan kumpulan itu pada awal penubuhannya bagi menentang gabungan dipimpin AS, dengan menjadikan tentera asing sebagai sasaran.

Taliban kini berdepan ancaman kumpulan Islamic State-Khorasan yang menyokong Daesh dan sudah melancarkan dua serangan pengebom berani mati di Afghanistan sejak beberapa minggu lalu. - AFP

Berita Harian X