Rabu, 13 Oktober 2021 | 8:25pm
Korea Utara berada dalam sekatan ketat untuk melindungi dari wabak COVID-19, dengan ekonomi yang teruk dan perdagangan dengan rakan utama China merosot. - Foto AGENSI
Korea Utara berada dalam sekatan ketat untuk melindungi dari wabak COVID-19, dengan ekonomi yang teruk dan perdagangan dengan rakan utama China merosot. - Foto AGENSI

Laporan PBB beri amaran 'risiko kebuluran' Korea Utara

SEOUL: Golongan paling rentan Korea Utara 'berisiko kebuluran' ekoran ekonomi semakin buruk akibat sekatan coronavirus negara itu, dan sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dikenakan terhadap program nuklear negara itu harus dikurangkan, kata seorang pakar hak asasi manusia PBB hari ini.

Negara miskin itu kini berada dalam sekatan ketat sejak awal tahun lalu untuk melindungi dari wabak COVID-19, dengan ekonomi yang teruk dan perdagangan dengan rakan utama China merosot.

Pada bulan Jun, stesen televisyen KCTV yang dikendalikan negara mengakui Korea Utara sedang menghadapi 'krisis makanan', mencetuskan amaran di negara dengan sektor pertanian yang hampir sekian lama bergelut untuk menampung makanan penduduknya.

Pada bulan yang sama, pemimpin negara itu, Kim Jong Un menyatakan keadaan makanan 'semakin tegang'.

Rakyat biasa Korea Utara 'bergelut setiap hari... untuk menjalani kehidupan bermaruah', dan keadaan kemanusiaan yang semakin buruk boleh 'berubah menjadi krisis', kata Tomas Ojea Quintana, pelapor khas PBB mengenai hak asasi manusia, dalam laporan terbarunya.

Pyongyang berada di bawah banyak sekatan antarabangsa atas program peluru berpandu nuklear dan balistiknya, yang telah menyaksikan kemajuan pesat di bawah Jong Un.

Quintana menyatakan, sekatan terbabit harus dikurangkan untuk melindungi negara yang paling rentan dalam menghadapi kekurangan makanan yang teruk.

"Kanak-kanak dan orang tua yang paling rentan berisiko kelaparan," katanya.

"Sekatan yang dikenakan oleh Majlis Keselamatan PBB harus dikaji dan dikurangkan bila perlu untuk menyokong bantuan kemanusiaan dan menyelamatkan nyawa."

Laporan itu dikeluarkan kira-kira tiga bulan selepas Pertubuhan Makanan dan Pertanian PBB menyatakan Korea Utara menghadapi kekurangan makanan sekitar 860,000 tan tahun ini, dan mungkin mengalami 'tempoh yang genting'.

Pyongyang menjauhkan diri dari perbincangan mengenai program nuklearnya sejak gagalnya sidang kemuncak kedua antara Jong Un dan presiden Amerika Syarikat (AS) ketika itu, Donald Trump di Hanoi dan telah menolak usaha Korea Selatan untuk menghidupkan kembali dialog.

Di bawah Presiden Joe Biden, AS telah berulang kali menyatakan kesediaannya untuk bertemu dengan perwakilan Korea Utara, sambil menyatakan akan mencari kaedah denuklearisasi.

Namun, Jong Un minggu ini menyalahkan Washington kerana ketegangan di Semenanjung Korea dan menegaskan senjata Pyongyang adalah untuk mempertahankan diri dan tidak ditujukan untuk negara tertentu. - AFP

Berita Harian X