Ahad, 10 Oktober 2021 | 8:16am
Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi umum hanya individu yang sudah lengkap divaksin dibenarkan menunaikan umrah, melawat Masjidilharam dan Masjid Nabawi berkuat kuasa hari ini. - Foto hiasan
Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi umum hanya individu yang sudah lengkap divaksin dibenarkan menunaikan umrah, melawat Masjidilharam dan Masjid Nabawi berkuat kuasa hari ini. - Foto hiasan

Hanya individu lengkap divaksin boleh tunai umrah

RIYADH: Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengumumkan hanya individu yang sudah lengkap divaksin yang diluluskan negara itu, dibenarkan menunaikan umrah dan melawat Masjidilharam dan Masjid Nabawi, berkuat kuasa hari ini.

Kementerian itu juga membenarkan mereka yang disahkan diberi pengecualian daripada mengambil vaksin mengikut aplikasi Tawakkalna, juga dibenarkan melawat dua masjid suci di Makkah dan Madinah.

Peraturan baharu yang berkuatkuasa hari ini dibuat sebagai langkah pencegahan untuk membendung penyebaran virus COVID-19 termasuk varian Delta, lapor agensi berita ArabNews.

Mereka yang sudah membuat tempahan dan mempunyai permit untuk menunaikan umrah atau mengunjungi dua masjid suci tetapi belum lengkap divaksin hendaklah mendapatkan suntikan dos kedua dalam tempoh 48 jam sebelum tarikh ditetapkan dalam permit bagi mengelak pembatalan.

Setakat ini, kerajaan Arab Saudi sudah memberi suntikan vaksin lebih 43.1 juta dos dan empat vaksin yang digunakan iaitu Oxford-AstraZeneca, Pfizer-BioNTech, Johnson & Johnson, dan Moderna.

Kementerian Kesihatan Arab Saudi sebelum ini melaporkan mereka yang sudah lengkap divaksin dengan Sinopharm atau Sinovac juga boleh diterima dengan syarat mereka sudah mengambil dos penggalak yang dipersetujui kerajaan. - AGENSI

Berita Harian X