Selasa, 28 September 2021 | 11:07am
Taliban memberi amaran bahawa tukang gunting rambut mesti mematuhi hukum Syariah berhubung potongan rambut dan janggut. - Foto AGENSI
Taliban memberi amaran bahawa tukang gunting rambut mesti mematuhi hukum Syariah berhubung potongan rambut dan janggut. - Foto AGENSI

Taliban larang penduduk Afghanistan cukur janggut

KABUL: Taliban mengharamkan tukang gunting rambut di wilayah Helmand, Afghanistan daripada mencukur atau memotong janggut pelanggan.

Menurut tafsiran Taliban, ia melanggar undang-undang Islam.

Tambah kumpulan itu, sesiapa yang menyalahi undang-undang terbabit akan dihukum.

Sebilangan tukang gunting di ibu negara Kabul berkata, mereka juga menerima arahan yang sama.

Arahan itu menunjukkan negara itu kembali kepada undang-undang ketat yang dikuatkuasakan oleh kumpulan itu ketika berkuasa sebelum ini, meskipun ia menjanjikan jenis pemerintahan yang lebih bertolak ansur, lapor BBC.

Sejak merampas kuasa bulan lalu, Taliban menguatkuasakan hukuman tegas ke atas penentang pemerintahannya.

Sabtu lalu, anggotanya menembak mati empat individu yang dipercayai penculik dan mayat mereka digantung di tepi jalan wilayah Herat.

Dalam satu notis yang ditampal di wilayah bahagian selatan Afghanistan, Helmand, pegawai Taliban memberi amaran bahawa tukang gunting rambut mesti mematuhi hukum Syariah berhubung potongan rambut dan janggut.

"Tiada seorang pun yang boleh membuat aduan," menurut notis itu, lapor BBC.

Pegawai kerap datang dan mengarahkan kami supaya berhenti mencukur janggut," kongsi seorang tukang gunting di Kabul.

"Salah seorang daripada mereka memberitahu kami bahawa mereka boleh menghantar pemeriksa yang menyamar sebagai pelanggan untuk menangkap kami.

"Seorang lagi tukang gunting yang mengendalikan satu daripada salun terbesar di bandar itu berkata, beliau menerima panggilan daripada seorang individu yang mendakwa dirinya pegawai kerajaan.

Mereka mengarahkannya supaya 'berhenti mengikut cara Amerika' dan jangan mencukur atau memotong janggut sesiapa pun.

Tukang gunting lain yang tidak didedahkan nama mereka oleh BBC demi menjaga keselamatan mereka berkata, undang-undang baru itu merumitkan mata pencarian mereka.

"Salun fesyen dan tukang gunting semakin menjadi perniagaan terlarang," kata seorang tukang gunting.

"Ini kerja saya sepanjang 15 tahun yang lalu dan saya tidak rasa saya boleh meneruskannya." - AGENSI

Berita Harian X