Isnin, 20 September 2021 | 11:59am
 Korea Utara lihat pakatan baharu Amerika Syarikat (AS) di Indo-Pasifik dan kontrak kapal selam AS boleh mencetuskan 'perlumbaan senjata nuklear' di rantau ini. - Foto fail AFP
Korea Utara lihat pakatan baharu Amerika Syarikat (AS) di Indo-Pasifik dan kontrak kapal selam AS boleh mencetuskan 'perlumbaan senjata nuklear' di rantau ini. - Foto fail AFP

Korea Utara dakwa pakatan baharu AS cetus perlumbaan senjata nuklear

SEOUL: Korea Utara menyifatkan pakatan baharu Amerika Syarikat (AS) di Indo-Pasifik dan kontrak kapal selam AS dengan Australia boleh mencetuskan 'perlumbaan senjata nuklear' di rantau ini.

Minggu lalu, AS mengumumkan perjanjian keselamatan tiga hala dengan Australia dan Britain, sebagai sebahagian daripada kerjasama strategik yang mana kapal selam nuklear AS akan dibekalkan ke Canberra.

"Ia adalah tindakan yang sangat tidak diingini dan berbahaya dan akan mengganggu keseimbangan strategik di rantau Asia Pasifik serta mencetuskan rantaian perlumbaan senjata nuklear," menurut media Korea Utara yang memetik kenyataan rasmi Kementerian Luar negara itu.

Rabu lalu, senjata nuklear Korea Utara menembak jatuh dua peluru berpandu ke laut, dengan Seoul berjaya menguji peluru berpandu balistik kapal selam beberapa jam selepas itu, menjadi negara ketujuh dunia dengan teknologi itu.

Ujian peluru berpandu dan perjanjian pertahanan di Pasifik menonjolkan perlumbaan senjata serantau yang semakin meningkat ketika persaingan China-AS memuncak.

"Adalah wajar negara jiran termasuk China mengecam tindakan ini sebagai tindakan tidak bertanggungjawab yang memusnahkan keamanan dan kestabilan rantau ini," kata pegawai Korea Utara itu.

Pakatan pertahanan baharu Presiden AS, Joe Biden membabitkan Australia-AS-Britain didakwa bertujuan menangani kebangkitan China.

Hubungan pentadbirannya dengan Korea Utara memperlihatkan perubahan berbanding presiden terdahulu, Donald Trump, yang melakukan hubungan diplomatik luar biasa dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un.

"Tindakan AS melakukan perjanjian semakin jelas selepas munculnya pentadbiran baharu yang mengikis norma dan ketertiban antarabangsa yang diterima secara universal dan secara serius, mengancam keamanan dan kestabilan dunia," menurut kenyataan ramai Kementerian Luar Korea Utara.

Kenyataan itu turut menyebut Korea Utara pastinya akan melakukan tindak balas sepadan jika ia memberikan kesan buruk terhadap keselamatan negaranya. - AFP

Berita Harian X