Isnin, 20 September 2021 | 6:25am
 Anggota Taliban dan orang ramai berkumpul di lokasi letupan bom yang menyasarkan kenderaan pikap pejuang Taliban di Jalalabad. - Foto AFP
Anggota Taliban dan orang ramai berkumpul di lokasi letupan bom yang menyasarkan kenderaan pikap pejuang Taliban di Jalalabad. - Foto AFP

DAESH mengaku serang Taliban di Jalalabad

BEIRUT: DAESH-Khorasan mengaku bertanggungjawab ke atas serangan terhadap kumpulan pejuang Taliban di bandar Jalalabad, Afghanistan.

Menurut kenyataan dikeluarkan pasukan propaganda DAESH, Amaq, kumpulan itu mendakwa tiga serangan bom berasingan menyasarkan tiga kenderaan Taliban di Jalalabad pada Sabtu dan satu lagi serangan bom semalam terhadap sebuah kenderaan Taliban.

Sebuah pikap yang membawa pejuang Taliban menjadi sasaran bom di bandar Jalalabad Afghanistan semalam, lapor media tempatan.

Saksi memberitahu media tempatan bahawa beberapa pejuang Taliban yang cedera dibawa ke hospital susulan letupan itu, yang menurut seorang wartawan berlaku berhampiran persimpangan ke dan dari ibu negara, Kabul.

Sehari sebelumnya, sekurang-kurangnya dua terbunuh dalam satu siri letupan di kawasan itu, letupan maut pertama sejak pasukan Amerika Syarikat terakhir menarik diri dari Afghanistan pada 30 Ogos lalu.

DAESH-Khorasan juga mengaku bertanggungjawab atas serangan berdarah yang mengorbankan lebih 100 orang di lapangan terbang Kabul pada akhir Ogos lalu.

Bandar timur Jalalabad adalah ibu kota wilayah Nangarhar, pusat cawangan kumpulan DAESH Afghanistan.

DAESH dan Taliban berbeza dalam isu agama dan strategi, sekali gus mencetuskan sengketa berdarah antara kedua-dua kumpulan. - AFP

Berita Harian X