Ahad, 19 September 2021 | 11:49am
 Artis menyiapkan lukisan mural di Bandar Gaza memaparkan kejayaan enam tahanan Palestin yang melarikan diri dari Penjara Gilboa sebelum ditahan semula. Foto AFP
Artis menyiapkan lukisan mural di Bandar Gaza memaparkan kejayaan enam tahanan Palestin yang melarikan diri dari Penjara Gilboa sebelum ditahan semula. Foto AFP

Israel tahan baki dua warga Palestin lolos penjara

KAHERAH: Polis Israel menahan dua tahanan terakhir daripada enam warga Palestin yang meloloskan diri daripada penjara kawalan ketat sejak 10 hari lalu.

Kedua-dua mereka ditahan di bandar Jenin.

"Operasi menjejaki tahanan membabitkan kerjasama Tentera Pertahanan Israel (IDF), pasukan keselamatan awam dan pasukan Polis Khas," kata jurucakap tentera Israel, Avichay Adraee.

Katanya, Nayef Kamamji dan Munadel Yacoub Infeiat menyerah diri selepas polis dan tentera mengepung rumah persembunyian di bandar terbabit.

Pada 6 September lalu, enam tahanan meloloskan diri daripada Penjara Gilboa dengan dua daripada mereka ditangkap pada 10 September dan dua lagi pada hari berikutnya.

Enam tahanan terbabit meloloskan diri daripada penjara berkawalan keselamatan tinggi selepas menggali terowong di lantai sel.

Tindakan tahanan meloloskan diri menggembirakan ramai warga Palestin yang dilihat meraikan kejayaan itu di jalanan.

Terdapat kira-kira 4,850 warga Palestin ditahan di beberapa penjara Israel termasuk 41 wanita dan 225 kanak-kanak. - AGENSI

Berita Harian X