Ahad, 19 September 2021 | 8:42am
 Loji tenaga Deir Ali. - Foto ihsan A.S.T.E
Loji tenaga Deir Ali. - Foto ihsan A.S.T.E

DAESH mengaku letupkan saluran gas di Syria

BEIRUT: DAESH mengaku bertanggungjawab melakukan serangan ke atas saluran paip gas asli utama di tenggara ibu negara Syria hingga mengakibatkan gangguan bekalan elektrik di bandar terbabit serta sekitarnya.

Kumpulan itu dalam kenyataan mendakwa anggota mereka mampu meletupkan saluran paip gas yang bersambung dengan loji tenaga Tishreen dan Deir Ali.

Memetik laporan agensi berita SANA, Menteri Tenaga Elektrik, Ghassan al-Zamel dilaporkan, berkata stesen Deir Ali di tenggara Damsyik itu menjana lebih separuh bekalan elektrik Syria.

Katanya, serangan ke atas saluran gas itu dilakukan Jumaat lalu, mengakibatkan stesen terbabit tidak dapat beroperasi sementara.

Ia juga menjejaskan beberapa stesen lain serta mengakibatkan gangguan bekalan elektrik di Damsyik dan bandar berhampiran. Bekalan elektrik dipulihkan kira-kira 30 minit kemudian.

Katanya, kerja penyelenggaraan dimulakan semalam dan memberi amaran penduduk berdepan catuan teruk hingga kerja pembaikan saluran paip selesai dan stesen kembali beroperasi seperti biasa.

Ketika ini loji Deir Ali dan Tishreen masih tidak beroperasi.

Kumpulan DAESH di Syria diisytiharkan tewas dalam pertempuran di perkampungan Baghouz pada 2019.

Bagaimanapun kumpulan itu terus melakukan serangan terhadap pasukan tentera kerajaan Syria dari tempat persembunyian selain di padang pasir.

Infrastruktur gas dan minyak Syria menjadi sasaran kumpulan militan dan pemberontak yang menentang rejim Presiden Bashar al-Assad.

Konflik Syria sejak 2011 memusnahkan rangkaian elektrik serta infrastruktur minyak dan gas di seluruh negara.

Pelantar minyak terbesar di Syria kekal berada di luar jangkauan kerajaan di timur laut Kurdi dan sekatan barat juga menghalang import bahan bakar dari luar negara.

Warga Syria di kawasan pentadbiran kerajaan terpaksa menyesuaikan hidup bekerja dengan pemotongan bekalan sehingga 20 jam sehari. - AFP

Berita Harian X