Ahad, 19 September 2021 | 7:07am
 Foto ihsan SPA
Foto ihsan SPA

Dos penggalak tidak perlu - Pakar kesihatan Arab Saudi

JEDDAH: Pakar kesihatan Arab Saudi menegaskan tiada keperluan untuk pengambilan dos ketiga atau dos penggalak vaksin COVID-19.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Abdullah Assiri, menyifatkan alasan tidak munasabah untuk masyarakat menerima dos ketiga jika dua dos vaksin berupaya mencecah penyakit teruk atau kemasukan ke hospital dan kematian.

Perunding penyakit berjangkit itu berkata pada tahap liputan vaksinasi yang sangat baik, perlu dipertimbangkan semula rasional dan kaedah ujian saringan makmal untuk COVID-19 dan menilai pandemik hanya daripada perspektif beban penyakit kepada masyarakat.

Memetik laporan Arab News, kenyataan itu dibuat berikutan cadangan suntikan dos penggalak vaksin Pfizer BioNTech untuk masyarakat umum dan suntikan ketiga untuk individu berusia 65 tahun ke atas dan golongan rentan.

Sementara itu, pakar penyakit berjangkit, Ahmed Al-Hakawi, berkata pemberian dos ketiga untuk semua orang tidak disokong oleh kajian.

Beliau merujuk kajian bertajuk "Safety and Efficacy of the BNT162b2 mRNA Covid-19 Vaccine through 6 Months," yang diterbitkan pada 15 September, dilakukan terhadap lebih 45,000 peserta di enam negara.

Kajian itu menyimpulkan 'melalui susulan selama enam bulan dan meskipun penurunan keberkesanan vaksin secara bertahap, BNT162b2 memiliki profil keselamatan yang baik dan sangat berkesan dalam mencegah COVID-19.'

"Vaksin masih memberikan perlindungan terhadap penyakit teruk bahkan enam bulan selepas dos kedua," kata Al-Hakawi, yang juga pakar epidemiologi di hospital di Riyadh.

Arab Saudi merekodkan 68 kes baharu semalam, menjadikan jumlah kes yang disahkan meningkat kepada 546,479, menurut Kementerian Kesihatan.

Negara itu turut merekodkan lima kematian baharu dalam tempoh 24 jam menjadikan jumlah kumulatif kematian 8,656 orang. - AGENSI

Berita Harian X