Sabtu, 18 September 2021 | 8:04pm
Anggota Taliban memeriksa lokasi letupan di Jalalabad, Afghanistan. - Foto AFP
Anggota Taliban memeriksa lokasi letupan di Jalalabad, Afghanistan. - Foto AFP

2 terbunuh dalam 3 siri letupan di Jalalabad

KABUL: Dua orang terbunuh dalam tiga siri letupan yang berlaku di Jalalabad, Afghanistan hari ini, dengan sekurang-kurangnya satu disasarkan ke arah kenderaan Taliban.

Pegawai Taliban yang enggan dikenali berkata ini adalah serangan meragut nyawa yang pertama berlaku sejak anggota keselamatan Amerika Syarikat (AS) meninggalkan Afghanistan.

"Dalam salah satu serangan terbabit, sebuah kenderaan Taliban yang melakukan rondaan di Jalalabad menjadi sasaran. Wanita dan kanak-kanak adalah antara yang cedera," katanya.

Pegawai dari jabatan kesihatan wilayah Nangarhar memaklumkan tiga orang terbunuh dan 18 yang lain cedera dalam serangan terbabit manakala media tempatan melaporkan sekurang-kurangnya dua terkorban.

Gambar yang dirakamkan di lokasi kejadian menunjukkan sebuah kenderaan jenis pacuan empat roda berwarna hijau dengan bendera putih Taliban yang dilitupi serpihan letupan sedang diteliti anggota bersenjata.

Jalalabad ialah ibu kota Nangarhar dan menjadi pusat kegiatan Daesh cawangan Afghanistan.

Usaha diterajui AS bagi membawa keluar warga asing dan rakyat Afghanistan yang berkhidmat untuk pasukan antarabangsa sebelum ini dicemari dengan letupan bom yang didakwa didalangi Daesh.

Bagaimanapun, tiada lagi kes sedemikian dilaporkan berlaku sejak pasukan keselamatan AS dipanggil balik dan meninggalkan Afghanistan pada 30 Ogos lalu.

Letupan itu dipercayai berlaku susulan arahan Taliban supaya pelajar dan guru lelaki diarah kembali ke sekolah di Afghanistan tetapi mengecualikan perempuan.

Satu lagi tindakan Taliban membuktikan pendekatan mereka berhubung wanita dan kanak-kanak perempuan belum berubah apabila papan tanda di bangunan Kementerian Hal Ehwal Wanita diturunkan.

Ia kini digantikan oleh Jabatan Mempromosi Nilai Murni dan Mencegah Salah Laku.

Paparan video pula menunjukkan kakitangan wanita di Kementerian Hal Ehwal Wanita melakukan protes di luar bangunan terbabit kerana kehilangan kerja. - AFP

Berita Harian X