Khamis, 8 April 2021 | 8:05am
Sukarelawan berpakaian perlindungan diri (PPE) memantau upacara pembakaran mayat mangsa COVID-19 di Bhopal, India. - Foto EPA
Sukarelawan berpakaian perlindungan diri (PPE) memantau upacara pembakaran mayat mangsa COVID-19 di Bhopal, India. - Foto EPA

COVID-19: India kenakan sekatan baharu

NEW DELHI: Gujarat menjadi lokasi terbaru dalam usaha mengekang penularan COVID-19 berikutan jangkitan di India mencatatkan hampir 116,000 kes baharu dalam tempoh 24 jam.

Pakar menyatakan gelombang baharu itu berlaku kerana orang ramai tidak mengendahkan garis panduan dan menghadiri majlis keagamaan, politik, perkahwinan dan pertandingan kriket sejak beberapa bulan lalu.

India kini mencatatkan 12.8 juta kes iaitu yang ketiga tertinggi selepas Amerika Syarikat (AS) dan Brazil, walaupun negara itu mempunyai penduduk jauh lebih kecil.

Sehingga kini, lebih daripada 166,000 mangsa coronavirus dilaporkan meninggal dunia di India.

Maharashtra, negeri yang paling teruk terjejas terutama di bandar Mumbai, sudah melaksanakan perintah berkurung malam hari dan sekatan pergerakan pada hujung minggu bermula malam esok.

New Delhi melaksanakan perintah berkurung waktu malam bermula Selasa lalu dan semalam, Gujarat di barat India melanjutkan larangan keluar selepas malam ke 20 bandar serta melarang perjumpaan sosial atau politik secara besar-besaran.

Ketua Menteri Gujarat, Vijay Rupani, dalam satu video, berkata tempoh perintah berkurung waktu malam dari jam 8 malam hingga 6 pagi dilanjutkan sehingga 30 April ini.

Rabu lalu, negeri di utara, Punjab, melarang perjumpaan politik dan melanjutkan perintah berkurung di seluruh negeri serta mengehadkan kehadiran di upacara pengebumian dan perkahwinan kepada 50 orang tetamu dan 100 orang di luar rumah.

Ketua Menteri, Amarinder Singh, berkata ia berikutan 85 peratus kes di Punjab adalah daripada varian United Kingdom (UK) yang lebih mudah berjangkit.

Kerajaan setakat ini tidak melaksanakan kembali sekatan pergerakan semula di seluruh negara selepas melakukannya pada Mac 2020, yang memberi kesan sangat besar kepada ekonomi India. - AFP

Berita Harian X