Khamis, 21 Januari 2021 | 6:52pm
Gambar fail menunjukkan kumpulan migran yang diselamatkan Pertubuhan Antarabangsa Untuk Migrasi (IOM). - Foto PBB
Gambar fail menunjukkan kumpulan migran yang diselamatkan Pertubuhan Antarabangsa Untuk Migrasi (IOM). - Foto PBB

Kapal bawa migran karam di Laut Mediterranean, 43 maut

KAHERAH: Sebuah kapal membawa migran menuju ke Eropah karam di Laut Mediterranean berhampiran pesisir pantai Libya semalam, menyebabkan sekurang-kurangnya 43 individu mati lemas.

Pertubuhan Antarabangsa Untuk Migrasi (IOM), berkata tragedi yang berlaku kelmarin itu adalah kemalangan maritim pertama tahun ini membabitkan migran yang mahu memulakan hidup baharu di Eropah.

Menurut agensi migran di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu, pihak berkuasa perairan Libya di barat bandar Zuwara hanya berjaya menyelamatkan 10 migran daripada kapal malang itu.

Mereka yang terselamat berjaya dibawa ke pantai manakala semua mangsa yang maut difahamkan adalah lelaki dari negara Afrika Barat.

IOM memaklumkan, kapal itu meninggalkan Zawiya kelmarin dan terbalik beberapa jam selepas itu apabila enjin terhenti di tengah laut yang berombak ganas.

Awal pagi kelmarin, pengawal perairan Libya memintas sebuah lagi kapal membawa 48 migran termasuk 11 kanak-kanak dan mengembalikan mereka ke pantai negara itu, kata IOM.

Agensi itu turut menggesa perubahan pendekatan dan prosedur dalam menangani isu migran di Laut Mediterranean, termasuk menamatkan tindakan membawa mereka pulang ke pelabuhan negara yang tidak selamat.

"Tangkapan dan penahanan secara sembarangan berterusan (di Libya), ramai yang menjadi mangsa dan dieksploitasi oleh penyeludup, dijadikan tebusan, didera dan diseksa," kata IOM dalam satu kenyataan semalam. - AGENSI

Berita Harian X