Khamis, 21 Januari 2021 | 6:19pm
Israel sudah pun memulakan pembinaan haram kira-kira 800 unit rumah di Tebing Barat berhampiran Baitulmaqdis. - Foto EPA
Israel sudah pun memulakan pembinaan haram kira-kira 800 unit rumah di Tebing Barat berhampiran Baitulmaqdis. - Foto EPA

Israel mempercepatkan tender penempatan haram di Tebing Barat

BAITULMAQDIS: Israel tergesa-gesa membuka tender pembinaan lebih 2,500 rumah di sini dan Tebing Barat, tidak lama selepas Joe Biden mengangkat sumpah sebagai Presiden baharu Amerika Syarikat (AS).

Ahad lalu, Israel meluluskan pembinaan 780 rumah baharu di Tebing Barat menjelang pilihan raya Mac depan, di mana Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dijangka berdepan cabaran hebat daripada Gideon Saar.

Pihak Berkuasa Tanah Israel (ILA) semalam mengesahkan kerajaan membuka tender untuk tambahan 2,112 unit rumah di Tebing Barat dan 460 unit di timur Baitulmaqdis, di lokasi yang mahu dijadikan ibu negara kerajaan Palestin.

Pengumuman itu dibuat selepas badan bukan kerajaan, Peace Now, melaporkannya dalam satu kenyataan dan mendakwa kerajaan Israel 'tergesa-gesa membina sebanyak mungkin unit rumah sebelum perubahan kerajaan AS'.

"Dengan berbuat demikian, Netanyahu memberi isyarat kepada Presiden AS yang baharu bahawa beliau tidak berhasrat memberi ruang perbincangan dalam fasa baharu hubungan AS-Israel, walaupun sehari.

"Ia juga mesej jelas bahawa regim Yahudi Israel tidak memberi pertimbangan serius terhadap usaha menyelesaikan konflik secara aman dengan penduduk Palestin dan Asia Barat secara am," katanya.

Nabil Abu Rudeina, selaku jurucakap Presiden Palestin, Mahmud Abbas, menyifatkan langkah Israel itu sebagai cubaan menghapuskan rumusan dua negara, dua kerajaan di samping mewujudkan lebih banyak halangan kepada kerajaan baharu AS.

Perancis menyelar langkah Israel itu menerusi satu kenyataan oleh Kementerian Luar Perancis dan menggesa pihak berkuasa Israel 'tidak melaksanakan keputusan itu'.

Pada masa sama, ILA turut mengumumkan pemenang tender bagi pembinaan 1,257 unit rumah di Givat Hamatos di timur Bairulmaqdis, yang terletak bersebelahan kejiranan Palestin, Beit Safafa.

Kumpulan anti-penempatan haram Israel, Ir Amim, merayu tender itu tidak diteruskan, sekali gus menggesa ia digantung secara automatik, namun mahkamah Israel membatalkan penggantungan itu kelmarin.

"Kerajaan Israel tergesa-gesa mengumumkan pemenang tender kerana mahu mengesahkan tender itu enam jam sebelum pelantikan Biden," katanya dalam satu kenyataan, semalam. - AFP

Berita Harian X