Isnin, 18 Januari 2021 | 10:25am
Sebahagian penempatan Israel di Tebing Barat. - Foto AFP
Sebahagian penempatan Israel di Tebing Barat. - Foto AFP

Israel rancang bina 780 penempatan haram di Tebing Barat

BAITULMAQDIS: Badan pemerhati, Peac Now berkata, rancangan pihak berkuasa Israel untuk membina sebanyak 780 buah rumah di jajahan Tebing Barat akan memberi kesan kepada hubungannya dengan pentadbiran baharu Amerika Syarikat (AS).

Minggu lalu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengarahkan pihak berkuasa untuk meluluskan pembinaan penempatan haram di wilayah berkenaan.

Semua penempatan Yahudi di Tebing Barat dianggap sebagai haram oleh sebahagian besar masyarakat antarabangsa.

Bagaimanapun, pada 2019, AS memutuskan untuk tidak lagi menganggap penempatan Yahudi sebagai haram dan melanggar undang-undang antarabangsa.

Joe Biden yang akan mengangkat sumpah selaku Presiden AS pada Rabu ini dilaporkan menentang perjanjian pembangunan perdamaian Tebing Barat, selain menyifatkan konsensus antarabangsa mengenai pendudukan Yahudi di wilayah Palestin adalah melanggar undang-undang dunia.

Susulan itu, Peace Now menjangkakan rancangan Israel itu akan mengeruhkan lagi hubungan dengan Palestin, selain menjejaskan rundingan damai antara kedua-dua negara dalam jangka masa panjang.

Menurut pakar, keputusan Netanyahu untuk memperluaskan penempatan haram di Tebing Barat turut diambil atas kepentingan politik.

Menjelang pilihan raya Israel pada 23 Mac ini, Netanyahu dijangka berdepan cabaran lebih sukar kerana terpaksa bersaing dengan bekas pemimpin berpengaruh dari parti Likud, Gideon Saar.

Saar meninggalkan parti pimpinan Netanyahu itu tahun lalu untuk mencabar kedudukannya dalam pemilihan akan datang.

"Netanyahu sekali lagi mempergunakan negara demi kepentingan politiknya," kata Peace Now dalam satu kenyataan.

Untuk rekod, pada Jun 1967, Israel berjaya menewaskan liga Arab menerusi Perang Enam Hari.

Mereka merampas Tebing Barat, termasuk timur Baitulmaqdis dari Jordan dan Bukit Golan dari Syria, selain Semenanjung Gaza dan Sinai dari Mesir. - AFP

Berita Harian X