Selasa, 5 Januari 2021 | 11:13am
Iran meningkatkan aktiviti pengayaan uranium di sebalik sekatan dikenakan AS. FOTO AFP
Iran meningkatkan aktiviti pengayaan uranium di sebalik sekatan dikenakan AS. FOTO AFP

Iran teruskan aktiviti pengayaan uranium sehingga 20 peratus

TEHRAN: Iran melaksanakan semula aktiviti pengayaan uranium sehingga 20 peratus di kemudahan nuklear Fordow, lapor agensi berita Sputnik, memetik jurucakap kerajaan Ali Rabiei pada Isnin.

Pada Disember lalu, Iran meluluskan undang-undang meningkatkan pengayaan uranium dan menghentikan pemeriksaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) ke atas tapak nuklearnya sebagai tindak balas terhadap kematian ahli fizik nuklear, Mohsen Fakhrizadeh.

"Beberapa hari sebelum itu, presiden Iran mengarahkan pengayaan (uranium) dimulakan sebanyak 20 peratus. Proses penyediaan gas UF6 (uranium heksafluorida) dimulakan. Produk pertama akan diterima dalam beberapa jam," kata Rabiei dalam satu kenyataan.

Undang-undang itu juga menetapkan penggunaan pengemparan generasi baharu untuk tempoh tiga bulan akan datang, termasuk 1,000 pengempar IR-2M dan sekurang-kurangnya 174 pengempar IR-6 dengan prospek meningkatkan jumlah menjadi 1,000 menjelang akhir tahun.

Perjanjian nuklear Iran, yang dimeterai pada tahun 2015, hanya menetapkan penggunaan emparan IR-1 generasi pertama dan pengayaan uranium pada tahap 3.67 peratus.

Pada tahun 2015, Iran menandatangani Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA) dengan China, Perancis, Jerman, Rusia, United Kingdom, Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah.

Perjanjian itu mewajibkan Iran mengurangi program nuklearnya dan menurunkan rizab uraniumnya sebagai tukaran kepada penarikan balik sekatan, termasuk sekatan senjata selama lima tahun.

Pada tahun 2018, AS memutuskan untuk menarik diri daripada perjanjian itu dan kembali mengenakan sekatan lebih ketat terhadap Iran. - BERNAMA

Berita Harian X