Isnin, 4 Januari 2021 | 8:06am
India lulus penggunaan dua vaksin. - Foto AFP
India lulus penggunaan dua vaksin. - Foto AFP

India lulus penggunaan 2 vaksin

NEW DELHI: India meluluskan penggunaan kecemasan dua vaksin COVID-19, semalam dalam usaha mengekang peningkatan kadar jangkitan wabak berkenaan.

Dua pelalian itu ialah AstraZeneca/Oxford dan satu lagi vaksin yang dihasilkan firma farmaseutikal tempatan, Bharat Biotech.

Pengeluar terbesar vaksin di India, Institut Serum India berkata, pihaknya sedang menghasilkan antara 50 hingga 60 juta dos 'penawar' dalam tempoh sebulan.

Setakat ini, Kerajaan India sudah merintis usaha bagi melaksanakan program inokulasi vaksin di serata negara berkenaan, dengan meliputi seramai 300 juta daripada 1.3 bilion penduduk, menjelang pertengahan tahun ini.

Sementara itu, Perdana Menteri Britain, Boris Johnson, semalam berkata peruntukan vaksin yang lebih banyak akan disediakan kepada rakyatnya, susulan kadar jangkitan COVID-19 menjangkau 57,725 kes.

Sehubungan itu, beliau mendedahkan bahawa 530,000 dos vaksin AstraZeneza/Oxford akan disediakan untuk keperluan penduduk, hari ini.

Selain itu, katanya, ibu bapa sewajarnya menghantar anak mereka ke sekolah sebaik sesi bermula, meskipun wujud bantahan dalam kalangan kesatuan guru dan beberapa penjaga yang membangkitkan mengenai risiko penularan jangkitan daripada varian baharu COVID-19.

Britain setakat ini sudah melakukan pelalian kepada sekitar sejuta rakyatnya, menggunakan Pfizer-BioNTech.

Ditanya perancangan terdekat, Johnson berkata: "Kita harap seramai kira-kira puluhan juta lagi akan mendapat suntikan vaksin, dalam tempoh tiga bulan akan datang".

Israel ketika ini mendakwa menjadi negara paling cepat melaksanakan program suntikan vaksin kepada penduduknya.

Berdasarkan perangkaan semasa, kerajaan Israel berkata, seramai dua juta penduduk yang mewakili satu perlima daripada keseluruhan populasi negara berkenaan bakal menerima dua dos suntikan vaksin, menjelang akhir bulan ini. - AFP

Berita Harian X