Jumaat, 1 Januari 2021 | 9:38pm
Ketua kehakiman Iran, Ebrahim Raisi, ketika bercakap pada satu majlis memberi penghormatan kepada Qasem Soleimani di Tehran. - Foto EPA
Ketua kehakiman Iran, Ebrahim Raisi, ketika bercakap pada satu majlis memberi penghormatan kepada Qasem Soleimani di Tehran. - Foto EPA

Iran beri amaran pembunuh Soleimani 'tidak selamat di dunia'

TEHRAN: Ketua kehakiman Iran hari ini berkata, pembunuh Qasem Soleimani 'tidak akan selamat di dunia, ketika republik Islam itu mula memperingati ulang tahun pertama pembunuhan jeneral tertinggi itu dalam serangan Amerika Syarikat (AS).

Ebrahim Raisi, ketika bercakap pada satu majlis memberi penghormatan kepada Soleimani di Tehran, berkata bahkan Presiden, Donald Trump, yang mengarahkan serangan itu, tidak 'kebal daripada keadilan'.

Soleimani terbunuh dalam serangan dron AS di lapangan terbang Baghdad pada 3 Januari tahun lalu, hingga meningkatkan lagi ketegangan dan permusuhan antara AS dan Iran sejak berpuluh tahun lalu.

"Mereka akan menyaksikan balas dendam yang teruk. Apa yang terjadi sehingga kini hanyalah sekilas," kata Raisi kepada perhimpunan di Universiti Tehran.

"Jangan menganggap seseorang sebagai presiden Amerika, yang tampil sebagai pembunuh atau mengarahkan pembunuhan, mungkin kebal daripada penghakiman atas perbuatan yang dilakukan. Jangan sekali-kali.

"Mereka yang berperanan dalam pembunuhan dan kejahatan ini tidak akan selamat di dunia," katanya.

Acara terbabit dihadiri oleh pegawai Iran dan penceramah termasuk perwakilan dari negara sekutu dan pasukan tentera antaranya Syria, Iraq, Lebanon, dan Yaman.

Acara terpisah dijangka diadakan dalam beberapa hari akan datang di Kerman, di kampung halaman di mana Soleimani dikebumikan.

Soleimani mengetuai pasukan Quds, pasukan operasi asing Kor Pengawal Revolusi Islam.

Pihak berkuasa tertinggi Iran, termasuk pemimpin tertinggi Ayatollah Ali Khamenei, sebelum ini mengeluarkan kenyataan bahawa semua pihak terbabit dalam pembunuhan itu akan berdepan pembalasan.

Beberapa hari selepas pembunuhan Soleimani, Iran melancarkan serangan peluru berpandu di pangkalan Iraq yang menempatkan tentera AS dan tentera gabungan lain, dengan Trump menahan diri daripada sebarang tindak balas ketenteraan lebih lanjut.

Kepimpinan Iran berkata, serangan itu sebagai 'tamparan' dan berjanji akan membalas dendam yang teruk.

Pengganti Soleimani, Esmail Qaani, ketika solat Jumaat mengulangi pembalasan itu mungkin dicetuskan dari mana-mana saja.

"Mungkin orang di negara anda (Amerika Syarikat) yang akan bertindak balas terhadap jenayah anda," katanya.

Ketegangan antara Washington dan Teheran meningkat sejak 2018, ketika Trump menarik AS dari perjanjian nuklear Iran dan mengenakan sekatan yang melumpuhkan.

Kedua-dua pihak juga sudah dua kali memasuki ambang perang sejak Jun 2019, terutamanya berikutan pembunuhan Soleimani. - AFP

Berita Harian X