Khamis, 24 Disember 2020 | 11:50am
 China memulakan siasatan antimonopoli terhadap Alibaba. - Foto AFP
China memulakan siasatan antimonopoli terhadap Alibaba. - Foto AFP

China mulakan siasatan antimonopoli terhadap Alibaba

BEIJING: China memulakan siasatan antimonopoli terhadap Alibaba, kata pengawal selia hari ini, dengan tekanan lebih tinggi terhadap gergasi e-dagang itu dan menyebabkan harga sahamnya jatuh.

Pengawal selia juga akan mengadakan perbincangan 'penyeliaan dan bimbingan' dengan anak syarikat perkhidmatan kewangan Alibaba, Ant Group, lapor media negara itu, hanya beberapa minggu selepas tawaran awam permulaan (IPO) yang mencatat rekod itu dihentikan saat akhir oleh Beijing.

Usaha itu menunjukkan tekanan berterusan kepada salah satu syarikat berpengaruh di negara berkenaan yang berjaya merevolusikan landskap e-dagang dan menjadikan pengasasnya, Jack Ma sebagai orang terkaya China.

Pegawai melakukan siasatan ke atas Alibaba kerana 'disyaki terbabit dengan amalan monopoli', kata Pentadbiran Negara bagi Peraturan Pasaran dalam satu kenyataan.

Saham Alibaba jatuh 5.48 peratus susulan berita itu tersebar sejurus Bursa Saham Hong Kong dibuka pada pagi Khamis.

Anak syarikat perkhidmatan kewangannya, Ant Group dalam satu kenyataan mengatakan bahawa ia akan rajin meneliti dan mematuhi permintaan jabatan pengawalseliaan.

Ant Group melancarkan namanya melalui produk utamanya Alipay, platform pembayaran dalam talian dan aplikasi super yang kini kukuh dalam ekonomi China.

Bagaimanapun syarikat itu juga menawarkan pinjaman, kredit, pelaburan dan insurans kepada ratusan juta pengguna dan perniagaan kecil, memacu kebimbangan dalam sistem perbankan menyokong dasar negara dan syarikat besar.

Oleh kerana permintaan global untuk penyenaraian Hong Kong-Shanghai mendorong IPO ke arah penilaian rekod - berpotensi menyerahkan Ma dan Ant Group lebih banyak dana, kesahihan dan pengaruh.

Ma yang lantang mengecam sistem kewangan China kerana didakwa ketinggalan zaman, memberi gelaran bank milik negara sebagai 'kedai pajak gadai' dalam ucapan pada Oktober menyebabkan beliau disaman sebelum IPO Ant digantung.

Tahun ini, Beijing melaksanakan peraturan baharu untuk membendung risiko yang berpotensi dalam industri pinjaman dalam talian China yang sedang berkembang, kerana cabang fintech firma internet termasuk Alibaba dan Tencent sudah berkembang dan menyatukan kekuatan dalam pasaran.

Media negara itu berulang kali meminta pengawasan ketat terhadap syarikat berkenaan, memberi amaran mengenai ketidakstabilan kewangan akibat pertumbuhan pesat yang tidak terkawal.

"Ini adalah langkah penting bagi negara kita untuk mengukuhkan pengawasan antimonopoli di sektor internet, yang kondusif untuk mempromosikan pembangunan ekonomi platform jangka panjang dan sihat," menurut satu komentar dalam People's Daily . - AFP

Berita Harian X